KUALA LUMPUR – Baru-baru ini penampilan penyanyi Hafiz Suib yang semakin kurus menjadi tanda tanya para peminatnya yang juga netizen di media sosial.
Rakan artis juga ada yang terkejut dengan perkembangan terkini Hafiz.
Memberi respon, beliau nafi mengalami masalah kesihatan, sebaliknya berkata kurus adalah pilihannya sendiri agar tampil segak di kaca televisyen.
“Saya kurus bukan kerana masalah kesihatan, apatah lagi dikaitkan dengan ilmu hitam kerana saya mempunyai alasan tersendiri untuk tampil demikian.
“Sebagai penghibur, saya perlu menitikberatkan penampilan dan mengekalkan bentuk tubuh supaya sedap mata memandang apabila beraksi di kaca televisyen,” katanya.
Menyedari pelbagai persepsi yang dilemparkan terhadapnya kini namun Hafiz tidak mahu mudah melatah.
“Kadang kala, saya tidak dapat mentafsir apa sebenarnya yang dimahukan masyarakat kerana ada sahaja yang mereka tidak berpuas hati.
“Kurus salah, gemuk pun susah dan akhirnya, saya memilih untuk tidak ambil pusing kata-kata orang lagi. Apa yang penting, ia bukan kerana masalah kesihatan atau ilmu hitam,” tambahnya.
Dalam pada itu, penyanyi yang sedang popular dengan single terbaru, Lagu Cinta Kita itu berkata, masa lapangnya kini terisi dengan aktiviti memancing.
“Setiap individu mempunyai minat dan hobi tersendiri. Bagi saya, memancing memberikan kepuasan, malah apabila berjauhan dengan keluarga, ia membangkitkan rindu yang membuat hubungan kami semakin erat.
“Mungkin kedengaran klise bagi sesetengah pihak, tetapi hobi ini banyak mengajar saya supaya lebih sabar. Selain itu, saya juga dapat meneroka banyak tempat menarik dalam negara,” ujarnya. -MalaysiaGazette