Reezal Merican Naina Merican
Reezal Merican Naina Merican

KUALA LUMPUR – Keputusan Datuk Seri Najib Tun Razak buat ‘comeback’ bukan untuk mendapatkan semula jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Sebaliknya, kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, tindakan itu adalah sebagai usahanya untuk memberi sumbangan kepada parti.

Katanya, kehadirannya dalam pelbagai program dan perjumpaan dengan rakyat sedikit sebanyak dapat menangkis segala fitnah yang dilemparkan kepadanya selama ini.

Bahkan, kata beliau, fenomena ‘Bossku’ yang dicetuskannya juga mendapat sambutan menggalakkan dari pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus dapat membersihkan namanya serta menjernihkan imej parti.

“Tidak timbul Najib buat ‘comeback’ kerana nak jadi Presiden UMNO atau Perdana Menteri. Beliau tidak menyatakan pun hasratnya untuk kembali menerajui UMNO, tetapi beliau ingin membuat sumbangan kepada parti.

“Oleh itu, orang ramai tidak perlu risau atau gusar terhadap fenomena yang melanda Najib. Dia dilantik sebagai Pengerusi Penasihat Barisan Nasional (BN) pun secara konsesus.

“Bila orang nak menyumbang, kita tak boleh halang dan masalah pelantikan itu bukan jawatan eksekutif dalam parti pun, ia hanya sebagai penasihat saja,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Sungai Besar, kelmarin.

Mengenai fenomena Bossku, Reezal Merican menjelaskan, walaupun pelbagai tanggapan diberikan, hakikatnya Najib adalah seorang yang ‘gentleman’ dan beliau dengan rela meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO.

Malah, katanya, Najib juga berdepan dengan permasalahan yang dihadapinya di mahkamah secara bersendirian.

“Beliau bersendirian berperang menghadapi pelbagai isu yang diasak oleh musuhnya sehingga rakyat mula kembali kepadanya setelah melihat kejayaannya menangkis dan menjawab segala pertuduhan fitnah yang dilemparkan ke atasnya.

“Buktinya, setipa kali Najib troll isu menteri Pakatan Harapan (PH), beribu sambutan dari netizen masuk ke laman sosialnya. Ini bermakna rakyat bukan menerima secara membuta tuli, mereka baca, lihat, buat kajian dan perbandingan terhadap apa yang telah dilemparkan kepadanya,” katanya.

Beliau berkata, sifat hero yang ditonjolkan Najib berjaya menambat minat rakyat terutama anak muda untuk turun bersama atas nama ‘Bossku’. – MalaysiaGazette