Majlis Pemakaian Pangkat Tauliah Pegawai Kehormat Askar Wataniah kepada MB Selangor dan KM Melaka disempurnakan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu di Wisma Pertahanan hari ini diberi penjelasan.

KUALA LUMPUR – Pemakaian pangkat Pegawai Tauliah Kehormat Askar Wataniah kepada Menteri Besar (MB) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Menteri (KM) Melaka, Adly Zahari oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mula mencetuskan persoalan.

Mohamad Sabu hari ini menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Tauliah Kehormat Askar Wataniah di Wisma Pertahanan kepada kedua dua pemimpin negeri itu dengan dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datok Seri Ahmad Hasbullah Nawawi.

Pada Julai tahun lalu, sejurus selepas dilantik sebagai Menteri Pertahanan, Mohamad pernah menegaskan bahawa beliau akan memastikan tiada pemberian sebarang pangkat kehormat tentera kepada ahli politik atau orang awam dan ia dilaporkan semua media tempatan.

Bagaimanapun Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini berkata, pelantikan Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Melaka sebagai Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (Jakpaw) di peringkat negeri telah diperkenankan menerusi kelulusan Majlis Angkatan Tentera Ke-575 berkuatkuasa pada 24 Mei 2019.

“Dalam majlis tersebut, Mohamad Sabu menyempurnakan pemakaian pangkat Brigadier Jeneral (Kehormat) kepada Amirudin Shari, selaku penaung JAKPAW Negeri Selangor dan juga kepada Adly Zahari selaku penaung JAKPAW bagi Negeri Melaka.

“JAKPAW merupakan suatu jawatankuasa yang ditubuhkan di setiap negeri untuk menggalakkan rakyat menyertai Angkatan Simpanan Persekutuan (ASP).

“Tujuan organisasi jawatankuasa ini ditubuhkan adalah untuk merancang semua jenis bantuan kepada ASP seperti kem gunasama, mempromosikan Askar Wataniah (AW) di kalangan masyarakat dan menggalakkan penyertaan orang awam menyertai ASP menerusi komitmen majikan,” kata kenyataan itu.

Justeru Kementerian Pertahanan menjelaskan Piagam Jawatankuasa Pendukung Angkatan Sukarela Persekutuan telah ditetapkan menerusi Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) Bilangan 1 Tahun 1996.

Malah katanya, Penaung JAKPAW di setiap negeri adalah Menteri Besar atau Ketua Menteri yang dilantik menerusi kelulusan Majlis Angkatan Tentera (MAT) dengan diperuntukkan pangkat Brigadier Jeneral (Kehormat).

wataniah amirudin
Mohamad Sabu memakaikan pangkat Kehormat Askar Wataniah kepada Amirudin Shari yang membawa gelaran Brigadier Jeneral Kehormat dalam istiadat ringkas di Wisma Pertahanan, Jalan Padanh Tembak hari ini mula dipersoalkan.

Selain daripada itu, perjawatan Pengerusi JAKPAW dikhususkan kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri.

Perlantikan Pengerusi JAKPAW dibuat oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri ataupun Menteri Wilayah Persekutuan dengan diperuntukkan pangkat Kolonel (Kehormat).

Menurut kementerian itu, kesemua perjawatan tauliah kehormat ini perlu mendapat kelulusan Majlis Angkatan Tentera (MAT) dan perkenan Yang Dipertuan Agong terlebih dahulu sepertimana yang termaktub dalam Seksyen 198, Akta Angkatan Tentera 1972.

Perjawatan tauliah kehormat boleh ditamatkan sekiranya penyandangnya melakukan kelakuan yang boleh mencemarkan nama baik Angkatan Tentera Malaysia atau tidak lagi menyandang jawatan mereka.

Ia merupakan mekanisma terbaik sebagai galakan kepada rakyat untuk menyertai ASP melalui prinsip Kepimpinan Melalui Teladan. – MalaysiaGazette