Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Malaysia, Yb Dr. Xavier Jayakumar melakukan gimik perasmian sambil diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etiqa Insurans dan Takaful, Kamaludin Ahmad (kiri) dan Presiden Islamic Aid Malaysia, Zawahir Abdullah (kanan) pada Majlis Perasmian Projek Air Bersih Etiqa di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 25 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Etiqa Insurance & Takaful telah mengenal pasti lima lagi kawasan bagi menjayakan Projek Air Bersih di seluruh Malaysia dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM) menjelang akhir tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamaludin Ahmad, lima kawasan itu adalah Padang Bukit, Rantau Panjang, Kelantan; Kampung Empa, Pokok Sena, Kedah; Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor; Kampung Kiwoi, Tamparuli, Sabah dan Kampung Benat Hulu, Samarahan, Sarawak.

Jelasnya, projek tersebut akan melibatkan kerja-kerja menaik taraf kawasan tadahan air sedia ada, memasang pam elektrik, menggantikan paip lama yang patah dan memasang tangki air untuk memastikan masyarakat tidak bimbang mengenai bekalan air setiap hari.

“Kami melaksanakan projek perintis di Kelantan dan setelah nampak impak daripada projek berkenaan, kami bercadang untuk meluaskannya lagi,” katanya semasa sidang media selepas pelancaran Projek Air Bersih di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xaviet Jayakumar.

Projek bernilai lebih RM1 juta akan dilaksanakan dalam tempoh setahun itu bakal memberi manfaat kepada 3,300 penduduk daripada komuniti luar bandar di lima kawasan berkenaan.

Ia merupakan sebahagian daripada komitmen tanggung jawab korporat syarikat tersebut, katanya.- MalaysiaGazette