Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Selepas 444 hari pertukaran kerajaan, Pakatan Harapan (PH) perlu diberi ruang untuk berterus-terang dan mengakui ada sesetengah janji yang dibuat hampir mustahil dilaksanakan.

Menurut Timbalan Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Lim Kit Siang, pemimpin PH juga perlu mengakui terdapat sejumlah besar penyokong mereka yang kecewa dan merasakan kerajaan kini telah kembali mengikut jejak langkah kerajaan Barisan Nasional yang ditumbangkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Selepas 444 hari pertukaran kerajaan, kini masanya untuk Pakatan Harapan menilai semula manifesto dan janji-janji PH dalam PRU14 yang lepas.

“Berikan PH ruang untuk berterus-terang dengan rakyat Malaysia dan mengakui, kalau ada, yang sesetengah janji yang dibuat itu adalah hampir mustahil untuk dilaksanakan dan saya percaya rakyat Malaysia akan menghargai usaha ini daripada kita cuba untuk menyembunyikannya,” katanya semasa berucap di Simposium Ekonomi Malaysia “Ekonomi Malaysia: Kini dan Masa Hadapan” di Parlimen hari ini.

Tambahnya, para pemimpin PH ketika ini perlu meyakinkan rakyat bahawa kerajaan sentiasa komited dalam membetulkan hala tuju negara ke arah Malaysia baharu.

Katanya, selama 444 hari pemerintahan kerajaan PH, banyak juga yang telah dicapai antaranya pelantikan Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara, Tommy Thomas sebagai Peguam Negara dan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

PH juga katanya, berjaya meminda perlembagaan persekutuan untuk merendahkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun walaupun usul pindaan perlembagaan untuk memulihkan taraf Sabah dan Sarawak telah gagal kerana ketiadaan sokongan dua pertiga Dewan Rakyat.

RUU IPCMC yang telah lama dinantikan juga telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada sesi Parlimen yang lepas, memberikan masa selama tiga bulan kepada persatuan awam untuk memberikan maklumbalas dan pendapat mereka, katanya. -MalaysiaGazette