Jurulatih pasukan Perak, Mehmet Durakovic sambil diiringi Kapten Pasukan Perak, Shahrul Saad (kiri) bersama Jurulatih Pasukan Kedah, Aidil Shahrin Ishak (dua kanan) dan Kapten Pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar bergambar kenangan dengan Piala FA pada sidang media menjelang perlawanan Akhir Shopee Piala FA 2019 pada hari esok di Bilik Sidang Media, Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Kapten Pasukan Perak FC, Shahrul Saad membawa misi besar untuk menamatkan badi 15 tahun Shoppe Piala FA dan mahu membawa pulang piala edisi ke-30 itu kali ini.

Perak akan bertembung dengan Kedah FC pada aksi final esok di Stadium Nasional Jalil.

Shahrul mahu memahat nama dalam sejarah pasukan negeri selepas abangnya berjaya menjulang piala edisi ke-15 pada 2004 bersama skuad The Bos Gaurus itu.

Katanya, abangnya Shamsul Saad, 44, sentiasa berkongsi pengalaman menjulang piala FA bersama skuad Kejor Yeop Skor pada 15 tahun lalu.

“Saya sembang selalu dengan dia (Shamsul Saad) pasal bola dan sejak kecil penglibatannya sebagai pemain dan pengalamannya memberi semangat untuk saya sejak saya mewarisinya sebagai pemain pertahanan seperti dia.

“Berharap segala motivasi dan input yang diberikan abang saya (Shamsul) akan membantu saya untuk bersama pasukan membawa pulang Piala FA pada malam esok,” katanya dalam sidang media menjelang Perlawanan Akhir Shopee Piala FA 2019 di sini petang tadi.

Shahrul dianggap ‘badak’ untuk pasukan The Bos Gaurus kerana sentiasa menjadi kebal untuk pasukan lawan memintas untuk menjaringkan gol.

Selepas menjulang Piala Malaysia pada 2018, Shahrul berharap semua pemain pasukan Perak untuk beraksi secara berpasukan memberi komitmen 100 peratus selama 90 minit perlawanan di atas padang.

“Bukan senang untuk datang ke peringkat final ini dan esok selangkah lagi untuk kami menyentuh Piala FA penuh berprestij itu yang diimpikan sejak 15 dekad lalu,” ujarnya.

Kali terakhir kedua-dua pasukan utara berkenaan membuat perhitungan di pentas final menyaksikan Kedah merentap ego Perak dengan kemenangan 3-0 untuk dinobatkan sebagai juara Piala Malaysia 2007.

Dalam pada itu  Ketua Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic berkata, perlawanan final esok sangat penting untuk beliau, pasukan, kakitangan dan khususnya warga Perak yang mendoakan kejayaan mereka nanti.

Katanya beberapa pemain utama dengan Shahrul Saad iaitu Brendan Gan
dan Firaus Saiyadi serta pemain sayap lincah, J. Partiban akan menjadi tonggak utama menggegarkan kubu lawan.

“Final kali ini istimewa sebab dua pasukan terbaik liga tempatan akan bertembung bagi merebut piala berprestij.

“Walaupun Renan yang dianggap badang untuk kubu pertahanan Kedah digantung menjelang final esok dan ia satu kelebihan untuk kami, namun kami tidak boleh ambil mudah.

“Kedah masih pasukan berbisa yang turut mengejar gelaran kali ini.jadi kami akan fokus setiap posisi dan mengatur strategi yang boleh mengikat dan melemahkan lawan untuk melancarkan serangan balas dan cipta gol kemenangan.

“Walaupun dibolos 3-1 sewaktu lawan pasukan Tok Gajah di Kuantan, ia bukan kelemahan kami sebab kami dah buktikan kebangkitan 3-0 tanpa dibolos dalam aksi kedua separuh akhir di Ipoh.

“Itu bukti jelas kami akan mempamerkan aksi yang berbisa dan digeruni lawan pada malam esok,” tegasnya.

Ini merupakan julung kali the Bos Gaurus dan pasukan Lang Merah beretemu di pentas final saingan Piala FA yang memasuki edisi Ke-30 tahun ini dan Kedah merupakan juara edisi ke-28 piala itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast