KUALA LUMPUR – Aidil Sharin Sahak masih terkejut kegembiraan berikutan pencapaian Kedah FA yang berjaya menjulang Piala FA 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Ketua jurulatihnya itu langsung tidak menjangka kemenangan itu sambil menyifatkan ia sebagai pencapaian luar biasa walaupun baru diambil alih enam bulan lalu.
“Saya memang tidak jangkakan pencapaian mereka malam ini sebab bukan senang untuk mengambil sebuah team yang dilanda krisis dan masalah dalaman malahan bagi saya satu budaya dan persekitaran yang berbeza.
“Dalam tempoh singkat enam bulan lalu banyak kena dibaiki dan sebagai Jurulatih saya mengubah acuan pasukan dan disiplin pemain itu dan akhirnya komitmen pemain sebagai satu pasukan dan keluarga berjaya kembali ke prestasi terbaik yang tak dijangkakan.
“Paling penting kesediaan mereka menaruh kepercayaan pada latihan dan taktik kejurulatihan saya berjaya membawa pencapaian dalam masa singkat ini yang memeranjatkan bukan sahaja saya malah semua pihak termasuk penyokong kami,” katanya dalam sidang media selepas diangkat sebagai pasukan juara FA edisi ke-30 itu malam tadi.
Ditanya mengenai mengenai keputusan mengubah peranan Amirul Hisham yang diberi peranan menggerakkan jentera tengah padang, katanya, ia satu risiko yang diambil beliau pada aksi final malam tadi namun memuji kebolehan Amirul yang membuktikan boleh beraksi dalam pelbagai posisi.
“Bukan sahaja di jentera tengah, dia membuktikan boleh memainkan peranan berimpak tinggi jika ditugaskan di mana – mana posisi dalam pasukan tapi pada final tadi pemain sepasukan di belakang depan dan sisi dia membuatkan persembahan dia berbisa ketika berdepan lawan Perak,” ujarnya lagi.
Secara ikhlas katanya, bukan senang untuk melawan pasukan Perak yang hebat dengan dibimbing jurulatih yang bijak dan pakar mengatur strategi perlawanan.
Namun katanya Lang Merah bimbingan beliau dengan tempoh latihan yang singkat berjaya menterjemahkan kejayaan.
“Ikhlas kata kedua dua pasukan Kedah baik the Bos Gaurus beraksi cemerlang dengan asakan dan rembatan berbahaya di gawang gol walaupun gagal membawa gol yang diharapkan sepanjang perlawanan.
“Bagaimanapun di masa kedua selepas membuat pertukaran pemain, pasukan menerima semangat membara dan mula mendapat sentuhan,” ujarnya lagi.
Ditanya lagi mengenai keberanian mempromosi pemain muda seperti Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin ke dalam kesebelasan utama Kedah, Aidil Shahrin mewajarkan keputusannya itu.
“Pemain itu walaupun muda harus dipuji kerana memberi kerjasama dan aksi yang baik dan di sini muda ke tua seseorang pemain itu bukan isunya tetapi kerjasama berpasukan itu yang membolehkan dia mempu beraksi dan ia satu perkembangan yang baik melibatkan bakat baharu Kedah.
“Justeru pengadil import kita juga berjaya mengadil dan mengawal perlawanan final dengan baik sekali dan ia harus dipuji semua,” tegas beliau.