KUALA LUMPUR – Penyanyi Ning Baizura terpaksa mendapat bantuan daripada para anggota bomba dan penyelamat Jalan Pantai Baharu selepas cincin perak yang disarungkan di jari tengahnya tidak dapat dikeluarkan.

Katanya, dia memakai cincin berbentuk ikan itu dalam keadaan tergesa-gesa semasa persembahan kelmarin.

Ning berkata, dia telah membuat carian di Internet dalam usaha mengeluarkan cincin berkenaan selepas meletakkan minyak dan ais batu gagal.

Akibatnya, jarinya tersebut membengkak hingga membiru.

“Suami dan mak minta saya jumpa doktor dan doktor pun tak boleh buat apa.

“Doktor mencadangkan saya pergi balai bomba,” kata Ning menerusi Instagramnya.

Proses memotong cincin itu turut dikongsikan.

Ning yang masih trauma dengan kejadian itu melahirkan ucapan terima kasih kepada anggota bomba yang berjaya menanggalkan cincin tersebut.

“Walaupun perkara kecil tetapi mereka membantu. Mereka sangat baik dan profesional,” kata Ning lagi.