Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Prinsip UMNO tegas untuk tidak bekerjasama dengan DAP atau mana-mana parti yang bekerjasama dengan parti itu.

Ia juga merupakan pendirian majoriti orang Melayu.

Lantaran itu, soal Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengapa Lim Kit Siang berang apabila UMNO tidak mahu bekerjasama dengan partinya,

Sebaliknya, Penasihat DAP itu seharusnya akur bahawa DAP akan dan telah ditolak secara besar-besaran oleh bangsa Melayu.

Naib Presiden UMNO itu juga berkata, penyatuan UMNO dan PAS adalah satu usaha yang praktikal.

“Orang Melayu berkongsi agama, budaya dan identiti yang asasnya sama. Maka mengapa harus diperkecilkan penyatuan dan kerjasama ini?

“Sudah tiba masanya orang Melayu membentuk satu pakatan politik yang utuh dan berpadu dalam mempertahankan serta yang lebih penting memakmurkan kepentingan-kepentingan strategik mereka di Malaysia,” tambahnya.

Khaled berkata, Kit Siang juga harus akur bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang menjadi semakin tidak popular hari demi hari.

Menurut Merdeka Centre, katanya, rating PH semakin menurun sejak Disember 2018 dalam kalangan pengundi Melayu, Cina dan India.

Dan, katanya, DAP semakin hari semakin biadab untuk menjadikannya relevan dalam konteks politik semasa.

“Tatkala menyedari undi orang Melayu amat penting dan politik berasaskan kaum serta agama tidak akan berakhir dalam Malaysia Baru.

“Sehinggakan isu penarikan ratifikasi International Convention on Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) itu dimainkan semula,” ujar Khaled.

Baru-baru ini, Kit Siang dalam blognya secara sinikal mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi berikutan bukti terkini tentang “klepto-teokrasi” – perikatan politik berdasarkan penyalahgunaan Islam untuk menyokong pencurian, rasuah, tidak bertoleransi, ketaksuban, kebohongan dan kepalsuan.

Ahli Parlimen Iskandar Putri itu mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang berkata, UMNO tidak akan “membuka pintu” rundingan dan kerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai hubungan dengan DAP.

Menurut Presiden UMNO itu, parti berkenaan tidak akan ada rundingan mana-mana parti dalam pakatan PH selagi mereka berkongsi kuasa dengan DAP.

Kit Siang berkata, kenyataan itu jelas menunjukkan Ahmad Zahid dan UMNO hanya menyokong kleptokrasi dan klepto-teokrasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast