Hashim Jasin
Hashim Jasin

KUALA LUMPUR – Kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang kononnya ‘mengutuk’ pemilik akaun bernama Wendy Loong kerana menghina Nabi Muhammad, hanya untuk mengabui mata masyarakat Islam.

Sehubungan itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin mengingatkan umat Islam agar tidak tertipu dengan kenyataan itu yang dipercayai dibuat bukan kerana ikhlas atau kesal apa yang berlaku kepada agama Islam.

Menurut beliau, walaupun Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menyokong tindakan diambil ke atas orang yang menghina Nabi, tetapi apakah kenyataan yang keluar dari mulutnya itu berdasarkan akidah dan kepercayaannya.

“Dia bercakap tidak berdasarkan akidah. Dia tidak terasa pun penghinaan kepada Nabi bermaksud penghinaan kepada Allah.

“Kita tahu dia sering menentang kepada pelaksanaan syariat Islam, maka walaupun dia sokong dalam isu ini, tidak bermakna dia telah melakukan suatu kebajikan dan kebaikan,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Harakahdaily.net, hari ini.

Kelmarin, pemimpin veteran DAP itu dilaporkan mengutuk hantaran Facebook menggunakan akaun Wendy Loong yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Ujarnya, beliau menyokong tindakan paling tegas diambil terhadap individu atau pihak yang bertanggungjawab untuk sebarang hantaran Facebook atau media sosial menghina Nabi Muhammad atau sebarang agama di negara ini.

“(Ini) supaya menghantar mesej jelas bahawa keharmonian kaum dan agama merupakan keutamaan kerajaan PH,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan kepada media.

Hashim menyifatkan kenyataan itu tidak lebih sekadar politik semata-mata yang mahu mengambil hati terutama orang Melayu kerana bangkit mempertahankan isu itu.

“Itu (kenyataan) politik. Nak ambik hati orang Melayu bila orang Melayu dah mula marah. Lebih lagi selepas usaha percantuman (kerjasama) antara UMNO dan Pas terjalin,” katanya.

Sehingga kini, belum ada sebarang penahanan atau penangkapan dilakukan ke atas pemilik akaun Wendy Loong oleh mana-mana pihak berkuasa. – MalaysiaGazette