KUALA LUMPUR -,Usahawan kosmetik, Safiey Ilias mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang wanita ‘Instafamous’ yang dikenali sebagai Baby Arra, Januari tahun lepas.

Safiey atau nama sebenarnya Mohd Safiuddin Ilias, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga penyanyi lagu ‘Syinta Gila’ itu didakwa telah menyebabkan cedera parah ke atas Farahnazikha Karab Hussain, 25, di sebuah restoran di Jalan Liew Weng Chee, AU2 di sini pada 1.30 pagi, 15 Januari tahun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya B. Rajdeep Singh menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000.

Bagaimanapun, Safiey yang diwakili peguam Harjeet Singh Sidhu memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan tertuduh memberi kerjasama dengan pihak berkuasa sepanjang siasatan kes dilakukan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 September untuk sebutan semula kes.

Turut hadir di mahkamah ahli keluarga dan rakan-rakan Safiey. – MalaysiaGazette