Bekas Ahli GISBH, Ummu Atiyyah As'aari bercakap pada sidang media penjelasan fitnah dilemparkan terhadap mangsa GISBH ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di tentuan akmal shamsul kahar, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 18 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – “Saya dipaksa berkahwin dengan lelaki tua, boroi yang juga salah seorang pemimpin GISBH (Global Ikhwan Holdings Sdn Bhd) malah dikhianati adik beradik sendiri.”

Itu trauma dialami anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad atau dikenali Abuya, Ummu Atiyyah yang berusia 41 tahun.

Ummu Atiyyah memiliki lapan beradik itu mendedahkan dirinya dipaksa berkahwin dengan individu yang juga pemimpin atasan dalam kumpulan itu dikenali sebagai Fadhil pada 2015.

Katanya, perkahwinan itu bagi tujuan memperkukuhkan organisasi sesat tersebut selepas sahaja ayahnya meninggal dunia pada 2010.

“Saya dipaksa kahwin untuk jadikan isteri keempat dan lelaki itu mendakwa ia seruan daripada Rasullulah SAW dan Abuya tetapi saya menolak kerana Fadhil bukan pilihan saya sebab dia amat tua dan boroi.

“Kemudian, saya melarikan diri ke rumah kawan saya di Jordan namun Fadhil dan pengikutnya yang juga adik beradik saya sendiri sanggup datang seawal pukul 1 pagi buat kecoh di rumah itu untuk paksa saya serah diri.     

“Mereka sampai memanggil kawan saya itu dan mengugutnya serta menganggunya oleh Fadhil dan pengikutnya selama seminggu hingga akhirnya kawan saya meminta saya keluar dari rumah itu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Bekas Ahli GISBH, Ummu Atiyyah As’aari bercakap pada sidang media penjelasan fitnah dilemparkan terhadap mangsa GISBH ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di tentuan akmal shamsul kahar, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 18 OKTOBER 2024.

Tambah Ummu Atiyyah yang juga seorang ibu tunggal dan memilik seorang anak itu terpaksa akur dengan kemahuan lelaki berusia itu untuk menjadi isteri keempat dan dibawa ke Turkiye.

“Semasa hendak berkahwin dengan dia (Fadhil), saya dipisahkan dengan anak yang kini di bawah jagaan lelaki itu tapi selepas dua tahun baru saya bertemu semula.

“Tindakan itu dibuat disebabkan saya enggan ‘bersama’ dengan lelaki tua itu malah saya dicucuh dengan pemetik api dan dikurung dalam bilik serta direndam dalam kolam berulang kali.

“Paling menyedihkan, perbuatan itu dibuat oleh adik saya sendiri Khaulah malah didesak untuk membogelkan diri depan Fadhil. Saya juga dilibas dengan getah paip oleh adik saya.

“Disebabkan takut mati kerana sudah sejam direndam dalam air dan telan air yang banyak, saya terpaksa akur dengan kemahuan lelaki tua itu hingga dirogol kerana tanpa kerelaan saya,” jelasnya.

Selepas lama menetap di Turkiye dan berjaya meloloskan diri namun ditangkap semula oleh Fadhil, Ummu Atiyyah kemudian dibawa ke Indonesia dan sekali lagi menghadapi pelbagai penderaan mental dan fizikal sebelum berjaya sekali lagi melarikan diri.

“Apa yang hendak saya sampaikan di sini, selama saya berada dalam kumpulan itu betapa teruknya sikap mereka itu yang bernafsu dan tidak bermaruah.

“Malah mereka mempromosikan syarikat GISBH ini sebagai syarikat Islam supaya ramai orang percaya dan meraih pelanggan semata-mata,” ujarnya.

Bekas Ahli GISBH, Mohamad Adam Rahmad bercakap pada sidang media penjelasan fitnah dilemparkan terhadap mangsa GISBH ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di tentuan akmal shamsul kahar, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 18 OKTOBER 2024.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Mohamad Adam Rahmad, 33, pula berkata, dia bersama isteri dan anaknya dipisahkan malah bekerja tanpa menerima bayaran selama 10 tahun berkhidmat dengan GISBH.

Lebih menyedihkan, dia dan isteri masing-masing dipaksa berpisah dan ditempatkan di asrama berlainan jantina manakala anak mereka diletakkan di rumah amal GISBH.

“Saya dikahwinkan dengan sesama ahli GISBH namun kami tidak dapat tinggal bersama sehingga perlu mendapatkan kebenaran daripada pemimpin atasan untuk berjumpa isteri dan anak hanya kerana saya tidak mampu menyewa rumah.

“Selama tempoh 10 tahun, saya bekerja untuk GISBH tidak dibayar gaji dan tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Kami yang bekerja di sini hanya diberi makan, minum dan tempat tinggal sahaja,” luahnya.

Beliau juga terkilan dengan pengikut GISBH yang bertindak mengurung anaknya berusia empat tahun dalam sangkar anjing sehingga trauma hanya disebabkan terkencing dalam seluar.

“Saya masih terasa sampai sekarang tindakan mereka itu. Saya tidak dibenarkan buat laporan kepada pihak berwajib yang ketika itu anak saya perlu menerima jahitan (akibat cedera). Malah saya terkejut melihat satu video viral anak saya dirotan,” katanya lagi.

Mohamad Adam juga memaklumkan, dia berjaya melarikan diri dari kumpulan tersebut pada Oktober 2021 namun dipaksa  berpisah dengan anak dan tidak dapat bertemu dengan isteri sehingga sekarang.   

“Alhamdulilah setelah sekian lama, saya dapat bertemu anak selepas dia diselamatkan dalam Ops Global baru-baru ini tapi saya terkilan isteri dipaksa menuntut fasakh kerana  saya culas bayar nafkah yang sememangnya sebab biasa digunakan GISBH untuk mereka yang keluar GISBH.

“Saya masih sayang isteri dan mahukan kami dapat hidup normal seperti keluarga lain malah berharap isteri kembali ke pangkuan saya terima dengan hati terbuka,” katanya – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast