KUALA LUMPUR – Kenyataan yang disifatkan sebagai dangkal oleh bekas pemimpin DAP, Ronnie Liu, terutama berkaitan isu agama, menjadi antara punca lebih 2,000 anggota Pemuda Parti Bangsa Malaysia (PBM) meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Wawasan Negara (Wawasan).
Ketua Pemuda Nasional PBM, Hanis Asmui mendedahkan, perkara itu telah dibincangkan di peringkat dalaman sejak beberapa bulan lalu, termasuk kebimbangan terhadap kesan kenyataan berkenaan kepada parti.
Menurutnya, penerimaan Ronnie ke dalam PBM sebelum ini turut mendapat reaksi berbeza dalam kalangan anggota di peringkat pusat, namun keputusan akhirnya terletak pada presiden parti yang juga Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng.
“Memang sebelum ini kita sudah bincangkan isu ini. Ada ahli di peringkat pusat yang separuh menerima dan ada yang separuh menolak.
“Tetapi benda ini keputusan presiden untuk menerima. Kita sebagai ahli terima sahaja siapa yang masuk. Cuma sebagai pemimpin parti, sepatutnya beliau lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hanis berkata, kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum akhirnya memberi kesan kepada PBM dan dilihat sebagai tindakan yang ‘backfire’ kepada parti sendiri.
“Walaupun mahu tarik pengundi Cina atau ahli, tidak perlu keluarkan kenyataan menghentam parti yang berteraskan Islam.
“Kita juga tidak perlu menghentam agama Hindu atau mana-mana agama lain. Benda itu akhirnya memberi kesan kepada parti,” tegasnya.
Menurut Hanis, isu berkenaan antara pertimbangan utama Pemuda PBM dalam membuat keputusan untuk membubarkan struktur sayap berkenaan di peringkat pusat, negeri dan bahagian serta meninggalkan parti.
Mengulas pemilihan Wawasan sebagai wadah baharu, beliau berkata, parti itu dilihat mempunyai konsep yang hampir sama dengan PBM, khususnya dalam membawa agenda politik Malaysia yang bersifat multiracial.
“Agenda Wawasan dan PBM sama, iaitu konsep parti Malaysia dan ‘multiracial’. Cuma Wawasan memberikan kita wadah perjuangan yang baharu.
“Saya rasa Wawasan adalah satu wadah terbaik untuk sokongan politik yang akan datang,” katanya.
Hanis berkata, keputusan itu telah dibincangkan bersama jawatankuasa Pemuda di peringkat pusat dan bahagian sebelum dipersetujui secara bersama.
Beliau turut mengesahkan peletakan jawatan sebagai Ketua Pemuda Nasional PBM, Timbalan Pengerusi PBM Negeri Johor dan Ketua PBM Bahagian Muar, berkuat kuasa hari ini.
Lebih 20 anggota jawatankuasa pusat Pemuda PBM turut hadir pada sidang media berkenaan bagi menyatakan pendirian mereka.
Hanis mendakwa, lebih 2,000 anggota sayap Pemuda PBM di seluruh negara turut mengambil keputusan keluar parti dan menyertai Wawasan berkuat kuasa hari ini. – MalaysiaGazette
















