GEORGE TOWN – “Kami sekeluarga memang tak tenang memikirkan nasib Muhaimin selain terkilan sampai sekarang masih tiada perkembangan mengenai operasi pencarian”.
Itu luahan ibu bapa kepada Muhammad Muhaimin Azhad Noor Hadi, 27, pendaki Malaysia yang dipercayai masih hilang ketika melakukan aktiviti pendakian di Langtang Valley, Nepal, sejak minggu lalu.
Bapanya, Noor Hadi Mohd Hassan, 62, berkata, keluarga hanya mahu mengetahui perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang dijalankan bagi mengesan anak bongsunya itu bersama dua rakannya.
“Kami cuma nak tahu perkembangan anak. Kalau ada apa-apa perkembangan mengenai operasi pencarian, beritahu kami supaya kami tahu keadaan di sana.
“Kalau sudah berhari-hari terputus hubungan, kami tak tahu keadaan mereka, ada makan atau tidak dan bagaimana mereka hendak bertahan. Itu yang kami risau, takut keadaan jadi lebih buruk,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Taman Tun Sardon, Gelugor, hari ini.
Noor Hadi berkata, Muhaimin seorang anak yang baik, ceria dan bertanggungjawab serta banyak membantu menguruskan urusan keluarga.
Katanya, Muhaimin juga banyak membantunya yang sudah lebih 10 tahun berkerusi roda selepas kehilangan kaki kanan akibat komplikasi kencing manis.

“Dia yang bawa saya pergi klinik, potong rambut dan uruskan macam-macam perkara. Dia memang harapan kami.
“Muhaimin anak bongsu dan dia banyak uruskan hal keluarga. Bila dia tak ada, rasa macam patah kaki kami,” katanya.
Sementara itu, ibunya, Zaleha Ariffin, 56, berkata, sebelum berangkat, Muhaimin membawanya membeli barang keperluan rumah dan meminta supaya membeli dalam jumlah yang banyak kerana memberitahu dia akan pergi lebih lama kali ini.
“Dia juga ada minta maaf dengan saya sebelum berangkat dan kali terakhir kami berbual sehari sebelum kejadian di mana Muhaimin sempat membuat panggilan video.
“Sebagai ibu saya hanya berdoa dan harap anak ditemui pasukan penyelamat dan selamat pulang ke pangkuan keluarga,” katanya dengan nada sebak.
Mengulas lanjut Zaleha berkata, Nepal merupakan negara pertama dikunjungi anaknya untuk melakukan aktiviti pendakian di luar negara.
“Muhaimin sememangnya meminati aktiviti mendaki sejak zaman belajar selain turut meminati sukan bola dan hoki,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Muhaimin bersama Muhammad Adib Haikal Awang Mansor, 27, dan Muhammad Zaki Othman, 29, dilaporkan gagal dihubungi ketika melakukan aktiviti pendakian di Langtang Valley, Nepal.
Ketiga-tiga mereka dipercayai berada di kawasan berkenaan ketika banjir kilat dan tanah runtuh melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu. – MalaysiaGazette
















