KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak mempersoalkan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung isu tunggakan bayaran kepada kontraktor di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Ketuanya, Khairol Najib Hashim berkata, kenyataan Akmal yang mempersoalkan sama ada kerajaan tidak mempunyai wang atau wujud “agenda lain” susulan isu berkenaan perlu dilihat berdasarkan penjelasan rasmi Kementerian Kewangan (MOF) hari ini.
Beliau berkata, MOF menjelaskan tiada sekatan dikenakan terhadap peruntukan KKDW bagi projek jalan luar bandar dan peruntukan itu telah disalurkan sepenuhnya.
“Sebaliknya, kekangan pembayaran kepada kontraktor berlaku apabila peruntukan tahun semasa telah dibelanjakan hampir sepenuhnya, manakala KKDW sejak beberapa tahun lalu membuat komitmen dan berbelanja melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Khairol Najib, pada 2023 KKDW menerima peruntukan RM1.1 bilion tetapi membelanjakan RM1.8 bilion, manakala pada 2024 peruntukan RM1.3 bilion berbanding perbelanjaan RM2 bilion.
Katanya, pada 2025 pula, KKDW menerima peruntukan RM1.6 bilion tetapi perbelanjaan sebenar mencecah RM2.3 bilion.
“Jadi sebelum mahu mempersoalkan kerajaan tidak cukup duit, mungkin elok Akmal bertanya dahulu apa yang berlaku di kementerian yang dipimpin oleh presiden partinya sendiri,” katanya.
Beliau berkata, MOF bukan sahaja tidak menyekat peruntukan KKDW, malah meluluskan tambahan RM300 juta bagi 2026 untuk membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor.
“MOF juga sedang mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain untuk membantu menampung keterlebihan komitmen KKDW,” katanya.
Bagaimanapun, Khairol Najib berkata, pihaknya tidak mahu menjadikan isu itu sebagai pertelingkahan sesama parti dalam Kerajaan Perpaduan, sebaliknya mahu nasib kontraktor yang telah melaksanakan kerja dan berhak menerima bayaran diberikan perhatian.
“Isu sebenar yang perlu diberikan perhatian ialah nasib kontraktor yang telah melaksanakan kerja dan berhak menerima bayaran mereka.
“Kritiklah kerajaan jika ada kelemahan. Itu hak sesiapa sahaja. Tetapi jangan tembak dahulu, semak kemudian,” katanya. – MalaysiaGazette
















