KOTA TINGGI – Mangsa kedua yang dilaporkan hilang ketika mandi sebelum lemas di Pantai Tanjung Lompat, Penawar di sini semalam ditemui mayatnya hari ini.
Muhamad Thaqif Rayyan Rumainoor, 16, dijumpai terapung oleh nelayan kira-kira 800 meter, dari lokasi mangsa pertama dijumpai pada pukul 1.53 petang tadi.
Pegawai Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Tanjung Sedili, Leftenan Komander Mohamed Shafiee Bakar berkata, mayat mangsa dibawa naik ke darat pukul 2.51 petang bagi proses pengecaman oleh waris.
“Selepas disahkan waris, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Pantai Tanjung Lompat.

Terdahulu, portal ini melaporkan empat remaja dikhuatiri lemas manakala dua berjaya diselamatkan selepas mandi di pantai berkenaan pukul 7.30 pagi semalam.
ARTIKEL BERKAITAN
Mayat mangsa pertama, Alif Taqiudin Kamal Hasrul Mohamad, 16, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat dengan bantuan penduduk kampung pukul 1.25 petang, kira-kira 800 meter dari lokasinya dilaporkan lemas.
Muhammad Thaqif Rayyan ditemui hari ini manakala Mohamad Haiman Fitri Supian dan Muhammad Adib Hafiy Kamal masih hilang, semua mangsa berusia 16 tahun.
Radius pencarian pada hari ini diperluaskan ke dua batu nautika dan menerbangkan dua dron bagi mengesan tiga lagi mangsa yang berkemungkinan dihanyutkan ke pantai lain.- MalaysiaGazette
















