Kempen Geng Bijak Tenaga merupakan inisiatif pendidikan awam oleh TNB untuk membantu rakyat lebih memahami bil serta corak penggunaan elektrik di rumah.

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyokong inisiatif Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Kempen Geng Bijak Tenaga bagi meningkatkan kefahaman rakyat mengenai bil dan corak penggunaan elektrik, selain menggalakkan penggunaan tenaga secara lebih bijak dan cekap.

Kempen ini merupakan sebahagian usaha kerajaan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kecekapan tenaga ketika negara berdepan cabaran Krisis Bekalan Global (KBG) yang memberi tekanan terhadap kos tenaga.

Melalui kempen itu, pelanggan domestik TNB yang layak digalakkan memantau dan mengekalkan penggunaan elektrik pada paras 600 kilowatt-jam (kWj) atau kurang sebulan bagi Oktober dan November 2026.

Usaha berkenaan bertujuan membantu pengguna memahami corak penggunaan elektrik di rumah serta mengenal pasti ruang untuk menggunakannya dengan lebih cekap.

Bagi menggalakkan penyertaan dan perubahan tabiat penggunaan tenaga, kempen itu menyediakan insentif keseluruhan RM200,000 kepada 2,000 pelanggan domestik yang memenuhi terma, syarat dan kriteria ditetapkan.

Setiap penerima akan menerima Touch ’n Go Reload PIN bernilai RM100.

Kempen itu dilancarkan Timbalan Menteri PETRA, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad hari ini yang turut dihadiri
Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad.

Antara kriteria pemilihan ialah mengekalkan penggunaan elektrik pada paras 600 kWj dan ke bawah bagi dua bulan berturut-turut, mempunyai akaun TNB aktif sekurang-kurangnya 12 bulan serta mencatat peratusan pengurangan penggunaan elektrik tertinggi berdasarkan perbandingan purata penggunaan sepanjang tempoh kempen dengan purata penggunaan dua bulan sebelumnya.

Selain insentif, kempen itu turut memberi penekanan kepada pendidikan menerusi perkongsian maklumat dan peringatan mengenai tabiat penggunaan tenaga bagi membantu rakyat membina amalan lebih cekap dalam kehidupan seharian.

Pendaftaran kempen dibuka mulai 10 September ini kepada pelanggan domestik TNB yang layak.

TNB akan menilai dan mengesahkan penggunaan elektrik peserta bagi Oktober dan November sebelum mengumumkan 2,000 penerima yang memenuhi kriteria kempen pada Disember.

PETRA berharap Kempen Geng Bijak Tenaga dapat meningkatkan kefahaman rakyat mengenai bil dan penggunaan elektrik serta membudayakan amalan penggunaan tenaga secara lebih bijak dan cekap.

Menurut kementerian itu, penggunaan tenaga secara bijak tidak bermaksud mengorbankan keselesaan, sebaliknya mengelakkan pembaziran dan menggunakan elektrik mengikut keperluan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here