KOTA TINGGI – Operasi mencari dan menyelamat tiga lagi remaja lemas yang masih belum ditemui dibantu tujuh pelajar tahfiz yang melaungkan azan, solat hajat dan doa selamat di Pantai Tanjung Lompat, Penawar di sini hari ini.
Pelajar tahfiz dari Madrasatul Quran Ar-Redha itu melakukan sendiri inisiatif tersebut sebagai ikhtiar bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua.
Mudir madrasah berkenaan, Muhammad Redza Imran Abdullah berkata, inisiatif usaha melaungkan azan dan solat hajat oleh kesemua pelajar berusia antara 11 hingga 17 tahun dan telah khatam Al-Quran itu juga dilakukan selepas mendapat keizinan daripada keluarga mangsa.
“Kita tidak ada daya. Ini bukan untuk menunjukkan apa-apa, tetapi kita hanya meminta pertolongan daripada Allah.
“Ini ikhtiar kita sebagai umat Islam, selain usaha yang sedang dilakukan oleh pasukan penyelamat,” katanya ketika ditemui di pantai tersebut.

Terdahulu, portal ini melaporkan empat remaja dikhuatiri lemas manakala dua berjaya diselamatkan selepas mandi di pantai berkenaan pukul 7.30 pagi semalam.
Mayat mangsa pertama, Alif Taqiudin Kamal Hasrul Mohamad, 16, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat dengan bantuan penduduk kampung pukul 1.25 petang, kira-kira 800 meter dari lokasinya dilaporkan lemas.
Tiga lagi yang masih belum ditemukan adalah Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor, Mohamad Haiman Fitri Supian dan Muhammad Adib Hafiy Kamal, semua mangsa berusia 16 tahun.
Ahli keluarga yang masih belum ditemui masih berada di pantai berkenaan bagi mengikuti perkembangan SAR.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri turut hadir meninjau operasi SAR dan bertemu ahli keluarga mangsa terlibat.

Katanya, tragedi lemas terbaharu membabitkan empat pelajar itu amat mendukacitakan dan akan mengambil langkah sewajarnya termasuk pemasangan papan tanda amaran di pantai berkenaan.
“Kawasan pantai ini sebenarnya tidak buka untuk orang awam bagi aktiviti mandi manda dan berkelah selain tidak diselenggara oleh mana-mana pihak sebaliknya digunakan oleh nelayan untuk turun ke laut.
“Susulan kejadian terbaharu ini, saya akan berbincang dengan pihak berwajib untuk memasang papan tanda amaran di pantai ini,” katanya.- MalaysiaGazette
















