BANDAR BARU BANGI – Lembaga Tabung Haji kini tidak lagi mempunyai ahli politik aktif dalam komposisi lembaga pengarahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, keputusan tersebut sebagai usaha memperkukuh tadbir urus dan memastikan pengurusan institusi berkenaan lebih profesional.
“Sekarang ini tidak ada lagi pelantikan atau penglibatan ahli politik aktif dalam lembaga,
“Ia antara langkah pembaharuan dilaksanakan TH selepas 2018 susulan pelbagai penemuan berkaitan pengurusan dan tadbir urus TH sebelum ini,” katanya ketika membentangkan perkembangan transformasi dan pemulihan TH pada Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan TH, di sini, hari ini.
Beliau berkata, langkah tersebut turut disokong dengan usaha memperkenalkan garis panduan fit and proper (kelayakan dan kesesuaian) bagi memastikan individu yang dilantik menganggotai lembaga memenuhi piawaian kompetensi, integriti dan kesesuaian yang ditetapkan.
“Pendekatan itu adalah sebahagian daripada reformasi tadbir urus yang lebih menyeluruh bagi mengelakkan kelemahan pengurusan lalu berulang.
“Fit and proper sebagaimana yang dilaksanakan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti juga akan dimasukkan dalam pindaan kepada akta,” katanya.
Mustakim berkata, tumpuan TH kini adalah memastikan keputusan berkaitan simpanan dan pelaburan dibuat berdasarkan disiplin kewangan, pengurusan risiko serta kepentingan jangka panjang pendeposit.
Beliau berkata, TH juga telah menubuhkan semula Panel Pelaburan pada 2021 bagi memperkukuh proses membuat keputusan dan memperbaharui dasar-dasar pelaburan.
“Sekarang ini panel pelaburan telah diwujud atau ditubuhkan semula pada 2021 dan memperbaharui dasar-dasar pelaburan,” katanya.
Dalam pada itu, Mustakim berkata, reformasi tadbir urus tersebut turut berkait dengan pelaksanaan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH.
“Dari 25 syor RCI, 19 telah diambil tindakan manakala enam lagi masih dalam proses pelaksanaan.
“Antara syor yang masih dalam tindakan termasuk pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), peluasan skop pengawasan Bank Negara Malaysia terhadap TH serta beberapa aspek berkaitan tadbir urus dan dasar institusi,” katanya.
Menurutnya, proses pindaan akta kini telah mencapai lebih 90 peratus dan memerlukan beberapa tindakan dasar sebelum dibawa ke Kabinet serta Parlimen.
“Pasukan kerja bersama dengan Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti untuk memuktamadkan perubahan kepada akta dan kemudian dibawa kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kabinet dan sebagainya,” katanya.
Mustakim berkata, perubahan struktur tadbir urus itu penting bagi memastikan TH kekal relevan sebagai institusi simpanan dan pengurusan haji tanpa mengulangi kelemahan yang pernah berlaku.
Beliau menegaskan objektif utama TH adalah menjaga keselamatan simpanan pendeposit, memastikan kemampuan umat Islam menunaikan ibadah haji serta memberikan pulangan yang mampan.
“Keyword dia mampan. Bukan pulangan paling tinggi tetapi pulangan yang mampan kepada pendeposit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















