PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah selesai menjalankan siasatan berhubung isu kelewatan pengedaran baja kepada pesawah di Kedah dan memperakukan supaya dua individu didakwa di mahkamah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pihaknya kini sedang melengkapkan tindakan susulan sebelum pertuduhan terhadap kedua-dua individu berkenaan dikemukakan.
“Kes ini telah selesai siasatan. Siasatan SPRM terhadap kes penyalahgunaan berkaitan baja di Kedah telah pun selesai.
“Melalui siasatan kami, kami akan memperakukan pertuduhan terhadap dua orang, iaitu termasuk ketua pengarah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Penutupan Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 Tahun 2026, hari ini.
Katanya, kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang berkaitan kesalahan mengemukakan atau menggunakan dokumen yang mengandungi butiran atau maklumat palsu.
Abd Halim berkata, identiti dua individu berkenaan bagaimanapun belum boleh didedahkan lagi.
“Orang kerajaan itu sebenarnya tak boleh didedahkan. Tunggulah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, susulan perakuan pertuduhan itu, pihaknya menjangkakan tindakan di mahkamah akan dibuat dalam tempoh terdekat.
“Mungkin minggu depan atau minggu lagi satu pertuduhan akan didatangkan di mahkamah,” katanya.
Siasatan yang bermula pada 26 Ogos itu melibatkan pelantikan sebuah syarikat pembekal baja di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Setakat ini, 37 saksi telah dirakam percakapan, termasuk Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, pada 16 September serta Ketua Setiausaha kementerian sehari sebelumnya. – MalaysiaGazette
















