Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain bercakap pada Program Dialog Reliti dan Masa Depan Tabung Haji di Hotel Tenera, Bangi. Foto SADIQ SANI, 03 SEPTEMBER 2026.

BANDAR BARU BANGI  – Tan Sri Abdul Rashid Hussain menolak dakwaan seorang saksi utama Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH tidak diberikan peluang secukupnya untuk memberikan penjelasan kepada suruhanjaya berkenaan.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) berkata, dakwaan bahawa saksi berkenaan tidak diberikan ruang yang adil untuk memberi taklimat kepada RCI adalah tidak tepat berdasarkan rekod prosiding yang dimilikinya.

Beliau berkata, walaupun beliau dinasihatkan supaya berhati-hati dalam mengulas perkara itu kerana pernah menjadi anggota RCI sebelum dilantik sebagai Pengerusi TH, beliau merasakan fakta berhubung perkara tersebut perlu direkodkan.

“Tan Sri (Madinah) sanggup bersumpah atas perkara ini berdasarkan pemeriksaan memori, nota dan hubungan dengan RCI.

“Untuk rekod, Tan Sri (Madinah) telah diberikan subpoena dan diminta hadir di hadapan RCI pada 3 Jun 2022,” katanya dalam sesi soal jawab dalam Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan TH di sini, hari ini.

Menurutnya, saksi berkenaan diminta hadir bersama Timbalan Pengarah Audit Kewangan, Mona Osman namun RCI pada ketika itu mengambil pendekatan meneliti kelemahan secara satu persatu.

Beliau mendakwa, pada 2 Jun 2022, RCI telah menerima keterangan Timbalan Pengarah Audit Kewangan serta Pegawai Audit TH.

Malah, RCI juga mempunyai laporan penuh berkaitan perkara tersebut.

“Untuk rekod sekali lagi, mungkin Tan Sri lupa, kita juga memberikan peluang untuk mengemukakan jawapan bertulis kepada 75 soalan.

“Jawapan itu dikemukakan di bawah akuan berkanun dan terdapat dalam rekod RCI sebagai kenyataan saksi,” katanya.

Katanya lagi, kenyataan bertulis berkenaan telah dikemukakan pada 1 April 2022.

“Jadi saya harap fakta bahawa ia dilakukan pada 1 April 2022 tidak dianggap sebagai April fool joke,” katanya lagi.

Baru-baru ini, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad mendedahkan beliau tidak dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji walaupun beliau merupakan individu yang menandatangani sijil audit berkenaan.

Madinah mendakwa, beliau hadir selepas disapina untuk memberi keterangan namun hanya diminta menunggu di luar bilik RCI sebelum urus setia memaklumkan beliau tidak perlu masuk.

Dakwanya, beliau menunggu kira-kira 45 minit hingga sejam di luar bilik berkenaan sebelum diminta pulang tanpa diberikan penjelasan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here