KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad terkilan kerana tidak dipanggil memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji walaupun beliau merupakan individu yang menandatangani sijil audit berkenaan.
Madinah mendakwa, beliau hadir selepas disapina untuk memberi keterangan namun hanya diminta menunggu di luar bilik RCI sebelum urus setia memaklumkan beliau tidak perlu masuk.
Dakwanya, beliau menunggu kira-kira 45 minit hingga sejam di luar bilik berkenaan sebelum diminta pulang tanpa diberikan penjelasan lanjut.
“Saya terkilan kerana disapina untuk RCI, tunggu di luar pintu tetapi urus setia kata saya tidak perlu beri keterangan,” katanya ketika membentangkan perkara itu pada program ‘Musyawarah Nasional: Realiti atau Persepsi: Jangan Politikkan Tabung Haji’ di sini, hari ini.
Madinah berkata, sehingga kini beliau tidak mengetahui mengapa tidak dipanggil memberi keterangan, sedangkan beliau merupakan Ketua Audit Negara yang menandatangani sijil audit berkaitan Tabung Haji.
Lebih mengecewakan, katanya, laporan RCI turut menyatakan Ketua Audit Negara ketika itu tidak tegas dalam menjalankan tanggungjawab.
“Saya tandatangan sijil audit tersebut, laporan RCI pula kata saya tidak tegas. Kalau saya diberi peluang untuk menjelaskan, sekurang-kurangnya mereka boleh dengar pihak saya,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya diberikan ruang untuk menjelaskan keputusan yang dibuat ketika itu, beliau boleh menerangkan sendiri proses audit, pertimbangan profesional serta sebab sijil tanpa teguran dengan EOM (penekanan perkara) dikeluarkan.
Madinah bagaimanapun menegaskan beliau tetap menghormati penubuhan dan laporan RCI berkenaan.
Katanya, perkara itu dianggapnya sebagai sesuatu yang telah berlalu, namun penjelasan yang diberikan pada program tersebut penting bagi memastikan orang ramai memahami apa yang berlaku berdasarkan fakta dan proses audit sebenar.
Beliau turut menegaskan, selepas bersara sekalipun, beliau tidak gentar untuk berkata benar mengenai perkara yang berlaku sepanjang menjalankan amanah sebagai Ketua Audit Negara.
“Saya akan berkata benar tanpa rasa takut atau memihak. Prinsip melindungi dan mengutamakan kepentingan negara menjadi pegangan utama saya,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette
















