MELAKA – Hasrat mencari ketam dipercayai menjadi punca seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dikhuatiri lemas di kawasan tambak laut, Klebang, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Muhammad Arif Daniel Nizamuddin dipercayai masuk ke kawasan tambak laut itu bersama rakannya untuk mencari ketam sebelum berenang lebih jauh dari pesisir pantai.
Muhammad Arif Daniel merupakan pelajar institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta anak bongsu daripada dua beradik.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, berdasarkan maklumat rakannya yang bersama mangsa ketika kejadian, remaja itu dipercayai ditarik ombak ke kawasan lebih dalam sebelum hilang daripada pandangan.
“Difahamkan melalui rakan mangsa, asalnya dia mencari ketam (di tebing batu tambak laut) sebelum cuba berenang ke tengah laut.
“Kita percaya dia ditarik oleh ombak ke kawasan yang lebih dalam dan terus hilang,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Klebang di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong.
Halim berkata, operasi SAR digerakkan petang semalam membabitkan pasukan polish, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).

Katanya, pencarian pada hari pertama membabitkan pasukan skuba bomba yang dibahagikan kepada dua zon dan dua sektor dengan keluasan keseluruhan kira-kira 900 meter persegi sehingga jam 7 malam, namun mangsa masih belum ditemui.
“Operasi dihentikan sementara pada waktu malam sebelum disambung semula pada jam 7 pagi tadi dan masih diteruskan sehingga kini.
“Buat masa sekarang, kita turut menumpukan pencarian di kawasan perairan pada permukaan dengan bantuan APM,” katanya.
Sementara itu, Lim turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika berada di kawasan pantai dan perairan, khususnya ketika musim cuti sekolah.
“Orang ramai dimohon supaya lebih berhati-hati terutama di kawasan Klebang dan kawasan laut serta tidak mendekati kawasan yang berisiko berlaku perkara seperti ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















