Baru Bian
Baru Bian

KUALA LUMPUR – Ketika pimpinan negeri dan cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) berlumba-lumba menyatakan sokongan kepada presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berlainan pula pendekatan yang diambil oleh pimpinan parti itu di Sarawak.

Baru Bian antara pimpinan Sarawak yang berani menongkah arus dengan menyatakan sokongan bukan sahaja kepada Anwar sebagai presiden bahkan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai timbalan presiden.

Tindakan Pengerusi PKR Sarawak itu juga merupakan langkah terbaik bagi memperkukuhkan perpaduan dalam parti dan mengelak perpecahan.

Sokongan padu 23 daripada 30 ketua cabang seluruh Sarawak itu adalah gambaran jelas pimpinan parti Bumi Kenyalang memilih langkah bijak buat masa depan parti.

Ini kerana sudah tiba masanya kesepakatan itu dicapai bagi memperkukuh muafakat anggota parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dijangka berlangsung pada 2020.

Bagaimanapun Baru tidak pernah takut kehilangan jawatan Menteri Kerja Raya yang disandangnya dengan tindakan menongkah arusnya itu.

Jika mengenali sikap dan keperibadian Baru, beliau merupakan menteri Kabinet yang ‘low profile’ dan sangat jarang terpampang beliau bermewah-mewahan.

Dengan berlatarbelakang sebagai insan yang berpegang kepada prinsip, Baru bukan kategori ahli politik ‘radikal’ atau membuta tuli dalam membuat sesuatu keputusan politik.

Sudah pasti selaku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri dan seorang menteri kanan kerajaan, beliau memahami keperluan-keperluan strategik politik dan urus tadbir.

Krisis dalaman yang melanda Keadilan kini antara Anwar dan Azmin sedikit pun tidak mengubah sokongan beliau kepada Anwar sebagai presiden serta Azmin selaku timbalan presiden, ketokohan kedua-dua ini sangat diperlukan bagi memimpin PKR.

Seandainya Baru memilih sokongan secara eksklusif, ia akan memberi gambaran negatif kepada rakyat Sarawak kepada PKR.

Rakyat negeri itu akan melihat parti itu sebagai tidak stabil dan akan menjejaskan tahap keyakinan terhadap keupayaan parti untuk memenangi PRN serta memimpin kerajaan negeri.

Beliau berpendirian bahawa sebagai pimpinan utama peringkat negeri dan pusat, wajar untuk beliau memberi sokongan semangat dan moral kepada Azmin menghadapi serangan politik kotor.

Sokongan ini juga adalah manifestasi PKR Sarawak menolak secara total gerakan ‘gutter-politic’.

Ini kelebihan Baru yang tidak mengampu ketua. Beliau telah menampilkan politik berjiwa besar kerana mahukan penyatuan kepimpinan antara Anwar dan Azmin.

Aspek negatif yang digambarkan oleh media terhadap Baru wajar diketepikan. Beliau telah menerajui PKR Sarawak sejak 2008 lagi.

Sejak 2008 hingga kini, sudah dua PRN dilaluinya iaitu pada 2011 dan 2016, serta menghadapi beberapa pilihan raya kecil dengan prestasi baik.

Di bawah kepimpinan Baru, PKR Sarawak berjaya memenangi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN pada 2011 berbanding satu kerusi DUN pada 2006.

Walaupun berlaku persempadanan semula pada 2015, PKR Sarawak berjaya mengekalkan kemenangan tiga DUN (Batu Lintang, Krian dan Ba’kelalan) dalam PRN 2016.

Lebih manis pada PRU14 lalu, PKR Sarawak telah memenangi pertama kali di tiga Parlimen iaitu Puncak Borneo, Saratok dan Selangau, kawasan yang diwakili oleh Baru.

Baru juga satu-satunya pimpinan Keadilan Sarawak yang dilantik sebagai Menteri Kerja Raya.

Malah keterampilan beliau begitu disenangi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kerana cukup fokus kepada tugas dan peranan Menteri Kerja Raya tanpa mempedulikan konflik atau terlibat dalam kontroversi politik. – MalaysiaGazette