Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pembentangan Ekonomi Malaysia 'Kini dan Masa Depan' di Dewan Persidangan Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 26 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Perkembangan politik semasa menyaksikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak yakin Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai individu yang layak menjadi perdana menteri dalam waktu yang terdekat.

Jelas pemerhati politik Dr Salawati Mat Basir, selaku Timbalan Presiden parti itu Azmin cukup mengenali Anwar dan mengetahui sikapnya.

Perkara ini menjadikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu kini lebih berpihak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Azmin lebih melihat Tun M lebih daripada Anwar sebagai Perdana Menteri. Azmin tidak berpihak kepada Anwar untuk jadi Perdana Menteri walaupun mereka suatu masa dulu sangat rapat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Bukan sahaja Azmin, malah pemimpin-pemimpin dalam parti itu juga menurut Salawati sudah tentu mengenali Anwar, dan ia terbukti apabila PKR meskipun tidak dikatakan secara terbuka, terbahagi kepada dua kumpulan.

“Mereka tahu siapa Anwar. Kini mereka (PKR) berkumpulan yang berpecah,” tambahnya.

Selain itu ujar Salawati, tindak tanduk Anwar kini yang dilihat semakin tidak sabar untuk mendapatkan jawatan itu, membuktikannya belum bersedia kerana negara memerlukan perdana menteri yang lebih tenang menghadapi pelbagai isu membabitkan kepentingan negara.

Justeru tambah pensyarah undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu lagi, demi hala tuju negara, jalan terbaik adalah memberikan ruang untuk Tun M mentadbir selama sepenggal.

“Bukan untuk motif politik tapi hala tuju negara, kita lebih bersetuju Tun M dibenarkan sepenggal ini kemudian ada pilihan raya kita pilih orang lain.

“Anwar beria-ia tindak tanduknya, caranya bercakap, apa yang dicakapkannya sekarang jelas tidak sabar-sabar untuk ke Sri Perdana. Anwar belum lagi layak jadi perdana menteri. Keghairannya berbahaya, pada saya orang seperti ini boleh ditipu oleh musuh.

“Perdana Menteri tidak boleh ghairah, tetapi sepatutnya tenang, meneliti isu serantau,” kata beliau lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast