KUALA LUMPUR – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) tampil membuat penafian berhubung video berkaitan budaya ragging di instuitusi terjadi pada masa ini.
Sambil mengesahkan memang adanya kes-kes penderaan berbentuk ragging dalam kalangan pelajar di situ, UPNM menafikan insiden seperti itu masih lagi berlaku bahkan ianya bukan satu budaya di universiti tersebut.
UPNM dalam kenyataan berkata, pihaknya tidak akan sesekali bertoleransi dengan sebarang pembabitan pelajar di universiti itu yang terbabit dengan insiden penderaan mahupun buli.
“Mereka yang di kenalpasti terbabit sudah dikenakan tindakan tatatertib termasuk pembatalan tauliah dan dihadapkan ke mahkamah. Ketika ini kita sedia maklum mengenai video tular dalam media sosial yang seolah-olah memberi gambaran dera adalah budaya di UPNM.
“Berdasarkan siasatan dalaman, video tular itu merupakan satu kes yang berlaku pada 2016 dan memberi gambaran tidak tepat mengenai keadaan ketika ini.
“Kita tidak akan sesekali bertoleransi dengan kes penderaan dan buli malah ini bukan budaya kita,” kata kenyataan tersebut.
UPNM mengulas inisden beberapa hari lalu, satu rakaman video menunjukkan seorang lelaki berbaju putih dipukul seorang lagi lelaki selepas dikerumuni kira-kira tujuh individu lain yang didakwa berlaku di UPNM tular dalam media sosial.
Dalam pada itu, UPNM memaklumkan pihaknya telah membuat laporan polis mengenai video tersebut bagi membolehkan siasatan dijalankan, sekali gus mengenal pasti individu terlibat serta motif serangan.
Universiti itu juga fokus dengan terhadap kecemerlangan akademik, penyelidikan dan usaha untuk melahirkan graduan berkualiti serta berkebolehan dengan ciri kepimpinan lengkap.
Insiden kematian Pegawai Kadet Laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman mendapat perhatian seluruh negara yang dikatakan didera rakan sepengajian dengan kesan lecur 80 peratus sebelum meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Zulfarhan diperlakukan demikian kerana dituduh mencuri komputer riba milik rakannya. – MalaysiaGazette