Mohamad Fadzli Hassan

KUALA LUMPUR – Penentang DAP terhadap pengajaran khat Jawi menunjukkan parti itu vokal dalam isu-isu membabitkan Islam.

Bagaimanapun, Pas Kelantan mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di atas ketegasan mereka mempertahankan pengajaran khat jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu.

Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Datuk Dr Mohamad Fadzli Hassan berkata, untuk kesekian kalinya juga kita melihat ketegasan perdana menteri dalam isu-isu yang dekat dengan hati umat Islam walaupun mendapat tekanan dan tentangan daripada dalam Pakatan Harapan (PH) sendiri khususnya DAP.

“Belum lagi reda isu gesaan Lim Kit Siang supaya pendakwah terkenal Islam, Dr Zakir Naik meninggalkan Malaysia, timbul pula penentangan pimpinan DAP terhadap pengajaran khat jawi sedangkan ianya telah menjadi keputusan kerajaan yang mereka sendiri menjadi sebahagian daripadanya. Mereka sudah menjadi terlalu vokal dalam isu yang melibatkan Islam,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tegas beliau, apa sahaja isu yang terkait dengan Islam, pimpinan DAP terus sahaja memberikan pandangan balas mereka.
Sepatutnya umat Islam tanpa mengira fahaman dan parti politik juga bersatu dalam isu yang melibatkan kepentingan Islam.

Ini kerana, pelajaran khat jawi adalah usaha memperkasa dan menanamkan kecintaan terhadap tulisan jawi itu sendiri.
“Dalam hal ini keputusan Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan pengajaran khat ini patut dipuji. Hari ini tulisan jawi sudah semakin jauh dari masyarakat Malaysia amnya dan Melayu khususnya. Keputusan itu adalah tepat dan mesti disokong.

“Bagi umat Islam, tulisan jawi bukan sahaja warisan Melayu dan tradisi bangsa yang mempunyai nilai seni yang tinggi, tetapi ia juga adalah syiar agama. Al-Qur’an diturunkan dalam bahasa Arab dan ditulis dengan tulisan yang kita panggil jawi ini. Tulisan jawi pernah mengangkat martabat orang Melayu dalam bidang keilmuan suatu masa dahulu,” katanya.

Kerajaan Negeri Kelantan, bagi memperkasakan tulisan jawi, telah lama mewajibkan penggunaannya dalam beberapa perkara seperti tanda nama premis perniagaan dan papan-papan iklan. Malah minit mesyuarat exco juga ditulis dalam tulisan jawi. – MalaysiaGazette