Pengerusi MIC Wialayah Persekutuan, Datuk Rajah Symon bercakap pada sidang media mengenai projek perumahan penduduk rumah panjang Bukit Kiara di Rumah Panjang Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Hannah Yeoh dibidas kerana menyebelahi penduduk mewah Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) dan menentang  pendekatan Menteri Wilayah Persekutuan dalam soal projek pembangunan rumah untuk 204 keluarga rumah panjang Bukit Kiara.

Sikap Ahli Parlimen Segambut itu disifatkan sebagai ego oleh Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan Datuk S. Rajah.

Malah, penduduk yang terlibat langsung dalam isu itu mendesak pemimpin DAP itu supaya duduk semeja dengan Khalid Samad  dan mencari penyelesaian secara muktamad dan sepakat

Rumah Panjang Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 JULAI 2019
Rumah Panjang Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 JULAI 2019

“Saya melihat isu pembinaan rumah penduduk rumah panjang Bukit Kiara sengaja dipanjangkan oleh seorang individu kerana keegoannya tanpa melihat kepentingan dan survival penduduk miskin ini.

“Saya minta Hannah Yeoh jumpa dan bincang dengan menteri untuk penyelesaian yang memanfaatkan semua orang,” katanya kepada pemberita di Rumah Panjang Bukit Kiara, TTDI tengahari tadi.

Beliau kesal dengan tindakan Hannah yang sekadar mendengar maklumat sebelah pihak tanpa merujuk suara dan perjuangan penduduk malang tersebut.

Menurutnya, penduduk rumah panjang Bukit Kiara yang pernah bekerja di Ladang Bukit Kiara dipindahkan ke rumah panjang di kawasan TTDI pada tahun 1982 selepas ladang asal dijual bagi tujuan pembangunan.

Jelasnya, hasil perjuangan selama 30 tahun lalu, pada 2013 kesemua penduduk generasi pertama iaitu warga emas di situ dijanjikan rumah mampu milik secara percuma.

Namun, sehingga sekarang ia masih tidak dapat dimulakan kerana dibantah oleh penduduk golongan berada sekitar TTDI yang menyifatkan projek yang merangkumi lebih 2,600 unit rumah mampu milik serta kondominium akan mengakibatkan pencemaran udara dan sesak lalu lintas.

“Saya nampak Khalid sangat peka dengan isu ini dan selepas mendengar kedua-dua pihak termasuk penduduk barulah beliau mengambil keputusan untuk mengurangkan pembinaan rumah kepada dalam 1,200 unit sahaja.

“Ini bertujuan mengawal kesesakan lalu lintas seperti yang didakwa penduduk sekitar TTDI, tetapi mereka yang disokong Hannah masih membantah selepas beliau mencadangkan  town house’ kepada penduduk rumah panjang berkenaan,” ujar Rajah.

Meskipun cadangan town house disambut baik, tegas Rajah, ia agak sukar untuk dilaksanakan pada realitinya kerana pelbagai faktor perlu diperhalusi dalam isu itu.

“Kalau nak ikut cadangan Hannah, kerajaan terpaksa membayar lebih RM150 juta kepada syarikat pemaju sedia ada, selain memakan masa 10 tahun lagi melaksanakan town house yang masih di peringkat cadangan,” ujarnya.

MGF040819_PC PROJEK PERUMAHAN RUMAH PANJANG02
Sebahagian penduduk memegang poster sepanduk sokongan mengenai projek perumahan penduduk rumah panjang Bukit Kiara di Rumah Panjang Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 JULAI 2019

Oleh itu, beliau mewakili penduduk rumah panjang mendesak Hannah supaya mengikut cadangan menteri dan penduduk yang dipersetujui sebelum ini.

Beliau turut mencabar Hannah untuk merealisasikan cadangannya membina town house dengan mencari pemaju baharu yang sanggup.

“Kalau nak juga bina town house saya cabar dia cari pemaju yang mampu bina. Jangan sekadar cakap-cakap kosong yang berhormat Hannah.

“Selain itu kamu harus memastikan pemaju itu melaksanakan projek itu tanpa mengambil satu sen pun atau harapkan tabung dana kerajaan seperti mana dipersetujui kerajaan dan pemaju terdahulu.

“Dan satu lagi segala kos pemindahan kontraktor perlu ditanggung pemaju baharu dan tempoh masa persiapan projek perlu dimuktamadkan secara hitam putih atas dokumen,” tegasnya lagi. MalaysiaGazette