Izhar Kahar
Izhar Kahar

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi pengecualian kepada Great Eastern (GE) dengan peraturan melepaskan 30 peratus saham syarikat insurans asing kepada tempatan disifatkan sebagai berat sebelah.

Di samping itu, alasan kerajaan memberi tempoh yang panjang kononnya untuk mempertimbangkan nilai kecairan dalam pasaran juga sangat lemah.

Menurut Ahli Dewan Tertinggi (ADT) penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Izhar Kahar, tindakan itu dianggap akan menjadi keutamaan yang negatif kepada transaksi pelepasan saham melibatkan firma atau syarikat asing pada masa akan datang.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Ekonomi dan Pemerkasaan Agenda Bumiputra Putra turut menjelaskan, dengan pengecualian itulah GE bersetuju untuk menyuntik sejumlah RM2 bilion sebagai dana permulaan mySalam.

“Golongan B40 yang kononnya ingin dibantu oleh kerajaan dianggap tidak ikhlas kerana mereka yang berumur 55 tahun ke atas tidak dilindungi oleh skim berkenaan.

“Sedangkan golongan 55 tahun ke atas lazimnya akan mengalami pelbagai masalah kesihatan setelah bersara atau pencen.

“Kementerian Kewangan dan GE sedar golongan sasar 18 hingga 55 tahun adalah mereka yang sihat, aktif, bekerja dan masih dilindungi oleh skim kesihatan serta perubatan oleh majikan masing-masing,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Sehubungan itu, katanya, kritikan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr, Jeyakumar terhadap mySalam mungkin tidak tepat kerana amaun bayaran RM3 juta oleh GE sehingga Julai lalu, berbanding peruntukan RM400 juta setahun untuk membiayai kos kesihatan sosial khasnya kumpulan B40 tidak lenyap begitu sahaja.

Ini kerana pada hemat Biro Ekonomi Bumiputra Putra, berdasarkan tatacara operasi mySalam yang dirangka kerajaan, sebarang lebihan dari pembiayaan kos tahunan akan disalur ke Tabung Amanah mySalam.

Menurut beliau, sejak merdeka pembiayaan kos kesihatan dan rawatan rakyat negara ini adalah secara langsung seperti peruntukan dalam belanjawan tahunan tanpa komplikasi melalui skim takaful yang berselerak kerana mengenepikan rakyat berumur 55 tahun ke atas dalam golongan B40.

Kata beliau, oleh kerana pengecualian diberi kepada firma atau syarikat asing bagi pelepasan pegangan saham 30 peratus, penglibatan dan representasi wakil tempatan dalam lembaga pengarah juga disangsi.

“GE adalah anak syarikat Great Eastern Holdings Limited yang berpangkalan di Singapura. Sepatutnya pegangan 30 peratus disyaratkan kepada syarikat tempatan Bumiputera seperti koperasi polis, anak syarikat Tabung Haji atau Permodalan Nasional Berhad (PNB).

“Ini yang dimaksudkan dasar afirmatif bagi membantu melonjakkan ekonomi bumiputera agar beransur-ansur kek ekonomi negara dapat diagihkan secara adil antara kaum.

“Inilah prinsip dan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang sepatutnya dikekalkan dalam semua pengubalan dasar ekonomi dan pembangunan,” katanya.

Izhar berkata, Putra tegas memperjuang dan mempertahankan dasar afimatif atau campur tangan kerajaan bagi menentukan keadilan pembahagian kekayaan ekonomi negara, bukan setakat dasar afirmatif membantu golongan miskin tanpa mengira kaum sahaja.

Ujar beliau, dasar kesamaratan mesti adil dalam pembahagian kek ekonomi di semua peringkat dan bidang.

“Hak Keistimewaan Orang Melayu dalam Perlembagaan Negara memberi ruang kepada kerajaan sewajibnya campur tangan dengan meneruskan tindakan afimatif untuk kaum bumiputera.

“Mengabaikan dasar ini adalah bertentangan dengan Perlembagaan serta Perjanjian Sosial kontrak yang dipersetujui,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast