Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Tindakan memendek tempoh lantikan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (LPUPM), Datuk Seri Diraja Syed Razlan Jamalullail merupakan satu langkah tidak berhemah.

Malah, keputusan yang diambil oleh Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berhubung perkara tersebut tidak mencerminkan teras falsafah kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berlandaskan ketelusan dan prinsisp “rule of law”, kata Persatuan Alumni UPM (PAUPM).

Dalam satu kenyataan PAUPM memberitahu, pihaknya amat terkilan dengan pemakluman tersebut dan membantah keputusan Maslee dengan beberapa alasan.

Katanya, jawatan Pengerusi LPUPM adalah satu jawatan yang tinggi dan penting dan sebarang penamatan jawatan itu perlulah melalui proses yang bermaruah.

“Dengan memendekkan lantikan tersebut dalam tempoh 10 bulan sahaja tanpa sebarang alasan yang jelas dan tidak diberi peluang untuk berbincang, boleh menggambarkan seolah-olah Pengerusi LPUPM adalah tidak kompetan dan telah melakukan kesalahan yang besar yang perlu ditamatkan segera.

“Setahu kami YAM Datuk Seri Diraja adalah seorang yang berpengalaman luas dan berintegriti dan sangat sesuai untuk jawatan tersebut.

“Kami difahamkan Kementerian Pendidikan Malaysia (Bahagian Governan) melalui surat bertarikh 20 Jun 2019 telah mengarahkan YM Datuk Seri Diraja selaku Pengerusi LPUPM menjalankan siasatan ke atas salah laku tiga orang pegawai tinggi UPM.

“Atas arahan tersebut beliau telah mengambil inisiatif memulakan siasatan salah laku berkenaan,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut PAUPM lagi, ahli lembaga pengarah baharu anak syarikat UPM juga telah mengesan tahap kemungkinan salah laku dalam tadbir urus anak syarikat berkenaan.

Ujarnya, ahli lembaga pengarah anak syarikat telah memohon kepada LPUPM supaya sebuah audit firma bertauliah dilantik untuk menjalankan forensik audit bagi syarikat subsidiari itu.

LPUPM katanya, telah bersetuju dan siasatan sedang giat dijalankan.

Di samping itu, katanya, ahli lembaga pengarah baru anak syarikat UPM telah mengesan tahap tadbir urus yang begitu menyedihkan serta berkemungkinan berlaku salah laku dalam tadbir urus anak syarikat tersebut.

“Kami juga difahamkan bahawa dalam masa yang sama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri, berdasarkan maklumat awam, telah membuat lawatan mengejut ke atas syarikat subsidiari UPM itu.

“Beberapa dokumen dan maklumat berkaitan kes telah diambil dari pejabat anak syarikat itu,” ujarnya.

Dalam pada itu PAUPM yakin, tindakan Maszlee memendekkan pelantikan Syed Razlan sebagai Pengerusi LPUPM dan sekali gus melantik seorang Pengerusi baru dalam surat lain dibuat berdasarkan nasihat yang salah.

 

syed

PAUPM percaya ada komplot untuk melindungi mereka yang terlibat dalam salah laku pentadbiran UPM.

“Sebagai bekas pelajar, bekas pensyarah dan mantan Presiden PAUPM sebanyak dua (2) penggal, cintanya kepada UPM tidak boleh dipersoalkan.

“Beliau memahami impian pengasas UPM dan mampu memimpin UPM ke aras yang lebih cemerlang Juga sebagai bekas Ahli Parlimen Arau dan Ahli Exco Negeri Perlis dan memimpin UPM ke aras yang lebih cemerlang,” tambahnya.

Justeru, PAUPM menegaskan bahawa mereka membantah sekeras-kerasnya tindakan Maszlee itu dan menggesa keputusan tersebut ditarik balik dan sebarang pelantikan baru perlu ditangguhkan sehingga proses kedua-dua siasatan selesai.

“Ini adalah untuk menjamin keadilan dan mempastikan keutuhan dan integriti UPM dan Kerajaan Pakatan Harapan sendiri.

“Kami berpendapat bahawa LPUPM sepatutnya berfungsi sebagai pengimbang dalam pengurusan dan pentadbiran UPM dan bertindak tanpa ragu dan pilih kasih,” tegasnya. – MalaysiaGazette