KUALA LUMPUR- Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching kini berhadapan dengan situasi sukar apabila kerajaan memuktamadkan keputusan untuk memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu Tahun Empat.
Pegawai Khasnya, Chan Kheng Fai mengakui kesukaran yang dialami bossnya itu ketika muncul sebagai salah seorang panel dalam forum bertajuk ‘Memikirkan semula kepelbagaian budaya dalam sistem pendidikan Malaysia’ anjuran Dong Zong malam ini.
Mengikut jadual asal, Nie Ching sepatutnya hadir dalam program tersebut.
Menurut Kheng Fai, ketidakhadiran timbalan menteri itu kerana perlu bersama-sama pimpinan DAP lain untuk bermesyuarat membincangkan dengan khusus berkaitan keputusan kerajaan itu.
Tambahnya apa pun yang dikatakannya pada malam ini tidak mewakili suara bossnya. itu.
“Apa yang saya boleh katakan, beliau berada dalam keadaan kritikal sekarang, dia ada mesyuarat dengan pimpinan DAP malam ini.
“Saya tak cakap mewakill menteri,” katanya.
Dilaporkan DAP malam ini memanggil semua anggota parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusatnya untuk sesi taklimat berkaitan isu khat Jawi di sekolah vernakular.
Ia selepas bantahan dibuat terhadap keputusan kerajaan itu yang lahir bukan sahaja daripada Dong Zong malah beberapa pemimpin akar umbi DAP meskipun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan keputusan kerajaan itu adalah muktamad.-MalaysiaGazette