Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (DPIM) sedia membuka kelas untuk menyekolahkan pemimpin DAP agar mereka faham erti perbezaan antara tulisan Jawi dengan bahasa Arab yang dikaitkan dengan agama Islam.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, atas dasar ketidakfahaman itu menyebabkan pemimpin DAP menentang usaha Kementerian Pendidikan untuk meneruskan penulisan Jawi dan khat di sekolah.

“Kami hendak mendidik pemimpin DAP yang menentang keras isu ini dengan memberikan satu contoh mudah, iaitu “kereta” dalam bahasa Arab dipanggil “Sayyaratun”, manakala dalam tulisan Jawi masih ditulis “kereta” dengan huruf Arab.

“Kalau dikatakan hendak menjelaskan mengenai keagamaan pada orang lain, isu ini tidak timbul sama sekali kerana Jawi adalah tulisan dan Khat adalah seni,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut beliau, parti Ikatan yang terdiri dari pelbagai kaum, agama dan bangsa lebih terpelajar dari DAP berhubung maksud bangsa Malaysia yang berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

Berbanding DAP, katanya, parti itu yang membawa slogan Malaysian Malaysia lebih menunjukkan sikap berat sebelah kepada sesetengah pihak sahaja.

Kata Shahir, konsep bangsa Malaysia yang dibawa oleh Ikatan berteraskan perjuangan menyatupadukan dan merapatkan rakyat Malaysia berbilang kaum, agama dan budaya supaya menjadi satu bangsa yang bersatu-padu, maju, adil, saksama dan sejahtera.

“Perjuangan ini menyedar dan menginsafkan kembali kepada rakyat mengenai kesepaduan serta semangat kekeluargaan jati diri yang wujud semasa zaman perjuangan bersama dahulu untuk mencapai kemerdekaan.

“Sehubungan itu, DPIM mengecam tindakan pemimpin akar umbi termasuk beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang membantah rancangan pelaksanaan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun 2020.

“Tindakan dangkal ini adalah rasis yang menunjukkan belang sebenar parti itu seperti tidak percaya kepada semangat Bangsa Malaysia,” katanya.

Beliau menegaskan, seharusnya perkara demikian dialu-alukan untuk sama-sama memahami budaya dan tradisi bangsa lain.

Ini kerana tulisan Jawi atau seni khat tidak ada kena mengena dengan agama, malah Jawi bukan bahasa Arab dan Jawi adalah tulisan berbahasa Melayu.

Shahir menjelaskan, pemimpin DAP harus belajar sejarah dan sedar bahawa Bahasa Melayu ditulis dan dibaca dalam tulisan Jawi sejak dahulu lagi.

“Orang Melayu tidak menggunakan huruf Roman seperti yang ada hari ini. Contoh sejarah paling mudah adalah Batu Bersurat Terengganu, adakah ia ditulis menggunakan huruf Roman?

“Kenyataan DAP ini menunjukkan mereka buta sejarah dan rasis terhadap kaum Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette