KUALA LUMPUR – Hairan satu ketika dahulu pengenalan tulisan Jawi dan seni khat ditentang habis-habisan oleh DAP.
Namun semenjak menjadi kerajaan, banyak juga pusingan ‘U’ dan kenyataan ‘tidak mengapa’ dikeluarkan terhadap isu-isu yang pernah ditentang atas nama perjuangan demi rakyat, termasuk seni khat.
Begitu luahan Naib Presiden MIC, Datuk Sivarraajh Chandran yang tidak sesekali menyangka Penasihat DAP, Lim Kit Siang akan mengeluarkan kenyataan menyokong pengenalan seni khat dalam silibus sekolah.
“Lebih memeranjatkan ialah kenyataan Kit Siang yang merupakan pengkritik serta Ahli Parlimen paling vokal menentang cadangan untuk memperkenalkan subjek seperti ini sejak tahun 1980-an namun sekarang menyokong.
“Adakah kerana mereka kini sudah bergelar kerajaan maka apa yang ‘haram’ sebelum-sebelum ini dalam kamus perjuangan mereka kini sudah dihalalkan sekelip mata?
“Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang mendapat sokongan lebih 60 peratus daripada masyarakat India pada pilihan raya lepas kini berkata pengenalan serta pelaksanaan silibus penulisan khat akan tetap diteruskan walaupun ditentang oleh sesiapa.
“Persoalan saya kenapa jika sebelum dan pasca PRU, kita sering berbicang tentang usaha serta impian membina Malaysia yang adil saksama bagi semua selaras dengan pendirian Pakatan Harapan (PH).
“Ini termasuklah mendengar, bertindak mengikut kehendak semua rakyat, tanpa mengira agama dan bangsa sebelum memperkenalkan sesuatu dasar baru tetapi kini lain pula ceritanya.
“Kini anda sudah bertukar pendirian malah degil untuk melaksanakan satu dasar yang boleh dikatakan tidak sesuai untuk dijadikan sebagai subjek teras malah lebih sesuai untuk dijadikan subjek pilihan khususnya dalam konteks pelajar bukan melayu.
“Jangan lupa, agenda politik partisan patut melangkaui agenda pendidikan negara kerana sebarang dasar yang dibuat berpotensi untuk memberi implikasi ke atas pembangunan dan pembentukan generasi akan datang.
“Saya mohon supaya kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) janganlah terburu-buru melaksanakan sesuatu dalam sistem pendidikan sebaliknya kaji dengan lebih mendalam,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sivarraajh yang merupakan bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands sebelum ini juga secara terang-terangan mengakui beliau tidak langsung menentang pengenalan tulisan khat sebaliknya mahu setiap suara-suara didengari khasnya ibu bapa dan pihak berkepentingan.
“Secara jujurnya, saya gembira jika anak-anak saya boleh mempelajari ilmu serta kemahiran baharu seperti tulisan Jawi juga lain-lain namun ia tidak harus dipaksa, sebaliknya dijadikan subjek pilihan mengikut kemahuan dan kebolehan mereka.
“Di samping itu, sudah lama kita semua berbincang mengenai usaha untuk menjadikan Bahasa Tamil serta Cina sebagai Subjek Teras untuk palajar berbangsa India dan Cina. Saya berpendapat ini masa yang sesuai menjadikannya satu kenyataan.
“Suka saya ingatkan, kalau ada pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan di dalam isu ini tidak bermakna kita tidak cintakan negara atau kita tidak menghormati kebudayaan serta warisan negara namun kita hanya bersuara sebagai rakyat Malaysia demi kebaikan dan masa depan anak bangsa,” ujarnya. – MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/06/dap-serah-ke-kabinet-isu-seni-khat/