Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bercakap kepada media selepas pada Mesyuarat Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengenai isu pembelajaran seni khat jawi di Ibu Pejabat DAP, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menolak sangkaan pihak-pihak tertentu kononnya berlaku pergolakan dalam parti itu selepas Kementerian Pendidikan mengumumkan mahu memasukkan seni khat dalam pelajaran Bahasa Melayu.

Katanya, DAP tetap bersatu dalam segala hal meskipun tidak menolak berlaku keresahan dan kerisauan yang dilahirkan oleh beberapa pihak.

“Tadi kita telah membincangkan isu-isu semasa dan perbincangan ini diadakan terbuka dan terus terang.

“Yang penting ialah DAP mengambil pendirian bersama secara sepakat dan bukanlah seperti yang diwar-warkan oleh pihak tertentu. DAP masih bersatu padu dan akan menangani perkara ini secara berpasukan.

“Saya rasa itulah yang penting kita telah mendengar pandangan dan kita akan buat kenyatan secara rasmi kelak. Biar kita buat kenyataan,” katanya kepada media selepas mengadakan perjumpaan dengan pimpinan tertinggi parti serta wakil-wakil komuniti di Ibu Pejabat di sini lewat malam tadi.

Ujar Guan Eng lagi, perkara itu timbul selepas empat hari beliau meninggalkan negara kerana urusan kerajaan.

Terdahulu, pimpinan DAP yang hadir pada mesyuarat tersebut masing-masing ‘mengunci mulut’ dan tidak mahu memberikan sebarang reaksi ketika ditanya media yang menunggu sejak pukul 7 petang.

Mereka menyatakan kepada wartawan segala intipati perbincangan mesyuarat hanya akan diperjelaskan oleh Guan Eng.

Rancangan Kementerian Pendidikan memperkenalkan enam halaman seni khat dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun 4 pertama kali dilaporkan oleh akhbar berbasa Cina Sin Chew Daily.

Perkara tersebut telah menimbulkan keresahan sebilangan ibu bapa apabila mereka menganggap ia akan membebankan pelajar dan merupakan proses Islamisasi disebabkan persepsi bahawa Jawi dan kaligrafi khat berkenaan berkaitan kesusasteraan Islam.

Bagaimanapun, pemimpin kerajaan termasuk Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail berkata khat tidak eksklusif untuk umat Islam dan dianggap sebagai seni semata-mata.

Sebagai mencari jalan penyelesaian wakil rakyat DAP di seluruh negara dipanggil ke ibu pejabat parti itu untuk membincangkan isu tersebut susulan rasa tidak puas hati masyarakat bukan Melayu terhadap rancangan berkenaan. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/05/pemimpin-dap-berkumpul-di-ibu-pejabat-bincang-isu-pembelajaran-khat-jawi/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/05/dong-jiao-zong-desak-kerajaan-tangguh-pelaksanaan-pembelajaran-khat-jawi/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/04/saya-belajar-jawi-dan-kecinaan-saya-tidak-berkurangan-pun-kit-siang/