Aifaa Zaffan Bagauddin Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor didakwa mengambil sikap sambil lewa terhadap golongan B40 di negeri itu apabila membiarkan mereka ‘tertanya-tanya’ tentang salah satu komponen Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) iaitu Skim Air Percuma 25 meter padu sebulan.

Ketua Pemuda Ikatan Selangor, Aifaa Zaffan Bagauddin Abdul Aziz berkata, Pakatan Harapan (PH) telah membuat “janji-janji” manis di dalam belanjawan tanpa meletakkan penanda aras mengenai pelaksanaan tersebut meskipun ia kini sudah memasuki suku ketiga.

Katanya, isu air di Selangor juga bertambah runcing apabila dalam masa satu tahun sahaja gangguan bekalan air sentiasa berlaku meskipun rakyat di negeri itu sebelum ini sering dimaklumkan bahawa kerajaan negeri menghadapi kesukaran jika kerajaan pusat masih ditadbir Barisan Nasional.

“Sekarang kesemua syarikat berkaitan pembekalan air di Selangor telahpun menjadi milik kerajaan negeri malah, kerajaan pusat telah ditadbir oleh Pakatan Harapan namun, isu gangguan bekalan air masih terjadi,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Dengan merujuk kenyataan Menteri Besar Selangor, Aifaa Zaffan berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Yang diadakan pada 11 April tahun ini telah membincangkan isu kenaikan tarif dan juga pakej keseluruhan berkaitan air percuma dan program penjimatan air di mana kerajaan akan mengumumkan isu air ini pada bulan Jun atau Julai lalu.

Namun katanya, sekarang ini sudah masuk Ogos dan Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Ke-14 Selangor juga sudah selesai bersidang tetapi ia masih lagi belum terlaksana.

Sehubungan itu kata beliau, Dewan Pemuda Ikatan Selangor mendesak kerajaan negeri mengeluarkan maklumat terperinci mengenai Status Pengunaan Belanjawan Skim Air Percuma itu.

Katanya, jumlah yang diperuntukan kepada Program Air Percuma selepas penjajaran dilakukan adalah sebanyak RM80 juta dan ini membolehkan kerajaan negeri membuat penjimatan sebanyak RM105.2 juta.

“Jadi jika skim ini tidak dapat dilaksanakan, ke manakah peruntukkan RM 80 juta ini disalurkan? Adakah jika skim ini dapat dibuat pada tahun 2019, ia akan mengambil kira bil air pada bulan Jan- Ogos 2019?

“Rakyat di negeri Selangor harus mengambil iktibar di mana, apabila keadaan politik yang tidak stabil ia akan merugikan rakyat malahan wang yang telah diperuntukkan untuk kebajikan rakyat tidak dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast