Izhar Kahar
Izhar Kahar

KUALA LUMPUR – Tun Daim Zainuddin ditegur supaya tidak bercakap dengan bahasa retorik jika kenyataannya berkaitan dengan dasar ekonomi orang Melayu dan Bumiputera.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) itu sebaliknya harus sedar dengan pepatah Melayu, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Parti Bumiputera Perkasa Malaysia, Izhar Abd Kahar menegaskan, kenyataan bekas Menteri Kewangan itu yang mendakwa perlaksanaan prinsip Dasar Ekonomi Baru (DEB) atau Dasar Afirmatif untuk membantu Bumiputera, tidak lagi memenuhi matlamat sepenuhnya.

Ujarnya, beliau juga tidak wajar menggunakannya sebagai alasan agar dasar tersebut yang selama ini telah membela hak keistimewaan Melayu serta kaum Bumiputra dihapus ganti begitu sahaja.

“Jangan sedap retorik sebagai seorang yang kaya dan berkuasa. Mohon sedar di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

“Keistimewaan Hak Melayu dan kaum Bumiputra sewajarnya terus dipelihara dengan memperbaiki dasar sedia ada demi memperkasakannya sebagaimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saranan beliau agar dasar intervensi untuk Bumiputra dihapuskan kerana dasar tersebut telah disalahgunakan oleh segelintir golongan tertentu harus ditolak kerana kesempatan mengeksploitasi dasar berkenaan berlaku di peringkat pelaksanaan program DEB lagi,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Semalam, Daim dilaporkan berkata, dasar baharu berkaitan ekonomi negara perlu berteraskan kepada pendekatan berasaskan keperluan, bukan lagi menumpu kepada isu perkauman saja.

Beliau menyatakan, sudah sampai masanya kerajaan memperkenalkan pendekatan baharu, segar dan benar-benar dapat mengubah kehidupan mereka yang selama ini tidak memperoleh manfaat daripada pembangunan negara.

Katanya, perbezaan kini, kerajaan perlu membuat sasaran tepat kepada kumpulan rakyat yang sangat memerlukan bantuan dan mereka ketinggalan daripada arus pembangunan negara.

Menurut Izhar yang juga Pengerusi Biro Ekonomi dan Pemerkasaan Agenda Bumiputra Putra, tidak dinafikan berlaku ketirisan dan kelemahan dari segi semak dan imbang oleh agensi pelaksana serta amalan budaya korup.

Bagaimanapun, katanya, rakyat Malaysia sedia maklum tempoh pelaksanaan majoriti program DEB adalah pada ketika pentadbiran negara di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku perdana menteri, manakala Daim pula bertanggungjawab terhadap pengurusan kewangan negara.

Polisi keperluan berasas ini semestinya perlu menjurus terhadap Melayu dan Bumiputera kerana sejak pelaksanaan DEB data ekonomi memperlihatkan Melayu serta Bumiputra di pelbagai peringkat masih ketinggalan berbanding kaum Cina dan India.

“Dakwaan DEB adalah polisi ‘race-based’ semata-mata adalah dakwaan sembrono kerana pada hakikatnya kaum yang masih ketinggalan dan dalam situasi memerlukan sememangnya Melayu dan Bumiputera,” katanya.

Kata beliau, ini jelas kelihatan pada kadar purata pendapatan isi rumah yang telah direkodkan tahun 2016 iaitu Cina RM8,750, India (RM7,150) dan Melayu (RM6,267).

Dari aspek pemilikan hartanah premium pula, bukan Bumiputera RM8.23 bilion iaitu 56.7 peratus, manakala Bumiputera RM5.63  bilion iaitu 38.8 peratus.

Begitu juga dari segi sumber manusia, sebanyak 36.3 peratus dari kaum bukan Bumiputera adalah tenaga mahir, sedangkan di kalangan Bumiputera hanya 29.4 peratus.

Oleh itu, ujar Izhar, dakwaan Daim bahawa ramai rakyat Malaysia telah tidak berpeluang untuk turut serta menikmati pertumbuhan dan pembangunan negara disebabkan DEB hanya memanfaatkan segelintir golongan sahaja adalah tidak berasas sama sekali.

Ini kerana data petunjuk ekonomi jelas membuktikan Bumiputera masih terbelakang dari kaum lain dan aras petunjuk kemiskinan pun menunjukkan peratus kes kemiskinan yang tinggi adalah dalam kalangan kaum Bumiputera. – MalaysiaGazette