Teresa Kok

KUALA SELANGOR – Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Skim Pinjaman Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS) disifatkan tidak membebankan pekebun kecil berikutan kadar faedah yang dikenakan hanya 2.0 peratus setahun.

Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata, kadar itu dilihat rendah dan mampu dibayar oleh pekebun kecil sawit di negara ini.

Malah katanya, kedua-dua skim itu yang menggantikan skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil sebelum ini dilihat lebih bersikap adil kepada semua pihak.

“Skim-skim tersebut yang telah diumumkan kerajaan Julai lepas membabitkan peruntukan dana sebanyak RM550 juta. Kita mahu adil kepada semua pihak termasuk pekebun tersusun di kawasan Felda dan Felcra yang mana sebelum ini ada yang tidak mendapat manfaat daripada skim bantuan penanaman semula itu.

“Pekebun kecil yang mahu melaksanakan penanaman semula kelapa sawit boleh memohon dua skim pinjaman mudah tersebut mulai 15 Ogos ini. Ia adalah usaha kerajaan untuk membantu meringankan beban kewangan mereka dalam aspek pembelian benih dan baja,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama penanam sawit Selangor di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) Chew Jit Seng dan Pengarah Bahagian Penyelidikan Integrasi dan Pengembangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr Ramle Moslim.

Sehubungan itu, Kok menegaskan kerajaan tidak akan melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil tersebut walaupun langkah berkenaan mendapat bantahan pelbagai pihak.

Skim pinjaman TSPKS dijangka memberi manfaat kepada 7,000 dan 10,000 pekebun kecil dengan anggaran keluasan tanaman berjumlah 50,000 hektar.

IPPKS pula akan memberi manfaat kepada seramai 3,000 hingga 5,000 pekebun kecil sawit dengan anggaran keluasan kawasan tanaman berjumlah 20,000 hektar.

Baru-baru ini, pelbagai pihak termasuk pekebun kecil membantah skim tersebut dimansuhkan berikutan kaedah pinjaman yang diperkenalkan itu dilihat membebankan mereka. – MalaysiaGazette