Bangunan Dong Jiao Zong, Kajang, Selangor.

KAJANG – Memandangkan terdapat kajian oleh ahli akademik menunjukkan seni khat merupakan tulisan yang digunakan untuk menyebarkan ajaran al-Quran dan Islam, maka Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menentang penyebaran itu jika sasarannya ialah orang bukan Islam.

Menurut kenyataan Dong Zong, penyebaran agama bertentangan dengan Perlembagaan perkara 12 mengenai hak pendidikan.

Perlembagaan 12 (3) menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.

China Press melaporkan, mesyuarat Dong Zong pada Sabtu mencapai kesepakatan untuk meminta kerajaan menarik balik kandungan khat daripada pengajaran di sekolah rendah jenis kebangsaan (SRJK).

Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim berkata, pengajaran khat kepada bukan Islam bukan sahaja tidak boleh diterima masyarakat bukan Islam, malahan bertentangan dengan Perlembagaan.

MGF05082019_DONG JIAO ZONG35
Pengerusi Dong Zong (Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia), Tan Tai Kim bercakap pada sidang media membantah penulisan Seni Khat diperkenalkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu SJK untuk pembelajaran murid-murid tahun 4 hingga tahun 6 di Bangunan Dong Jiao Zong, Kajang, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 05 OGOS 2019.

Berikutan daripadanya, Dong Zong mahu supaya pengenalan kepada khat dijalankan dalam bentuk sedia ada, iaitu melalui bab seni bahasa dalam kandungan buku teks Bahasa Melayu tahun lima yang digunakan sejak 2015.

Tai Kim berkata, Dong Zong akan bekerjasama dengan 10 buah pertubuhan Cina dan India untuk mengumpul tandatangan dan menyerahkannya kepada Kementerian Pendidikan untuk membantah pengajaran khat.

Katanya, pertubuhan-pertubuhan itu sebelum ini telah menggesa Kementerian Pendidikan menangguhkan pengajaran khat sehingga penelitian dilakukan sepenuhnya.

Tai Kim berkata, Dong Zong menghormati kepelbagaian kaum termasuk seni khat dan budaya Islam, selain menyokong interaksi antara kaum melalui nilai kepelbagaian dalam pelajaran.

“Tetapi ia harus sesuai dengan keadaan sebenar sekolah pelbagai aliran, yakni tidak boleh mengubah keistimewaan sekolah aliran berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette