Ketua Armada Bersatu Lumut, Akmal Maradzi

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago diingatkan supaya jangan biadap dengan menuduh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir membuat keputusan secara bersendirian berkaitan dengan pentadbiran kerajaan termasuklah dalam isu pengenalan tulisan Jawi di sekolah.

Ketua Armada Bersatu Lumut, Akmal Maradzi menegaskan, tindakan pemimpin DAP itu tidak bertanggungjawab sekali gus menunjukkan Ahli Parlimen Klang itu bukan sahaja gagal memahami tatacara pentadbiran tetapi juga cuba mewujudkan perpecahan dalam Pakatan Harapan (PH).

“Armada Bersatu Lumut melihat tindakan Santiago ini sebagai amat biadab dan tidak mengetahui hal pentadbiran kerajaan.

“Sedangkan setiap keputusan dibuat hendaklah melalui Kabinet dan Majlis Pimpinan Presiden (MPP) PH,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, beliau juga menempelak Santiago dengan mempersoalkan Ahli Parlimen Klang itu mengapa tidak merujuk dahulu dengan pimpinan DAP sebelum melontarkan tuduhan yang tidak berasas tersebut.

“Apakah beliau (Santiago) ini amat malas membuat kajian atau bertanyakan kepada pimpinan DAP sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian terhadap Perdana Menteri melalui Facebook rasminya.

“Isu tulisan jawi dan khat ini diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri yang mana ada angotanya adalah daripada parti DAP. Apakah kerana sikap rasis, beliau cuba menutup fakta itu,” soal Akmal lagi.

Dalam pada itu, Akmal turut melahirkan kebimbangan terhadap tindakan Santiago yang seolah-olah bermotifkan politik dengan menghasut rakyat khususnya bukan untuk menolak usaha kerajaan melaksanakan tulisan Jawi dan seni khat di sekolah.

Isnin lalu, Santiago dalam satu catatan di Facebook berkata, situasi sekarang menunjukkan seolah-olah Dr Mahathir bertindak sendirian, walaupun datang dari parti yang dikira minoriti dalam Pakatan Harapan (PH).

Tambahnya, sudah tiba masanya untuk menilai kembali proses membuat keputusan dalam kalangan Majlis Presiden PH.

Ia dijawab Dr Mahathir dalam nada sinis yang menyifatkan kedudukan Santiago ketika ini ‘setaraf’ dengan dirinya. – MalaysiaGazette