PUTRAJAYA – Kerajaan sedang berusaha ke arah melaksanakan penanaman mampan kelapa sawit, perhutanan dan juga konservasi hidupan liar secara bersama.
Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata, inisiatif itu dirangka dan sedang dilaksanakan kementeriannya untuk menunjukkan kepada dunia khususnya Kesatuan Eropah yang mempunyai takrifan dan pemahaman yang salah mengenai industri kelapa sawit.
Katanya, EU menentang produk berasaskan minyak sawit dari Malaysia dengan mengaitkannya dengan penebangan hutan secara bertentangan dengan alam semulajadi di Malaysia.
“Saya sedih nak katakan kebanyakan pemimpin politik dan pengubal dasar di luar sana (Eropah) cepat melatah dan menyebarkan mesej negatif dan buruk mengenai produk minyak sawit dan industri penanamannya kepada dunia.
“Mereka tak pernah melawat Malaysia dan Indonesia dan terus melemparkan tuduhan tak berasas mengenai industri minyak kelapa sawit kita hanya berdasarkan apa yang mereka dengar dan yang dilaporkan oleh badan bukan kerajaan di sana.
“Mereka seharusnya mengambil inisiatif melawat ke Malaysia dan melihat sendiri segala usaha kita laksanakan untuk menunjukkan kepada dunia bahawa penanaman sawit bukan pemusnah hidupan liar dan hutan semulajadi seperti yang disangkakan mereka.
“Sebab itulah kita merancang untuk menanam sejuta pokok kelapa sawit di Hutan Simpanan Pin Supu, Sabah berhampiran Lahad Datu sebagai salah satu usaha menunjukkan kepada pengkritik dan anti Sawit bahawa tanaman sawit, hutan dan juga hidupan liar boleh wujud bersama tanpa sebarang ancaman,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata demikian selepas hadir menyempurnakan majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Filem Pendek 90 saat bertajuk ‘Love My Palm Oil 90″ di Pusat Membeli Belah IOI City Mall hari ini.
Beliau juga mahu pengusaha dan peneroka industri sawit mengamalkan amalan penanaman mampan untuk membuktikan kepada pengkritik bahawa Malaysia menanam kelapa sawit mengikut undang-undang dan amalan yang ditetapkan antarabangsa.
Menurutnya, video pendek berkenaan adalah salah satu idea untuk menggalakkan pelajar Universiti menggunakan kemahiran teknologi yang dimiliki untuk menghasilkan lebih banyak video mempromosikan kelapa sawit dan kebaikannya.
“Saya lihat dalam YouTube banyak video yang bersifat negatif dan memburukkan kelapa sawit kita apatah dalam kalangan rakyat kita sendiri.
“Maka mempromosikan video-video ini dengan minyak sawit merah yang kaya dengan vitamin A dan E akan mendekatkan masyarakat kita sendiri dengan kebaikan dan khasiat minyak sawit untuk bersama sama mendukung produk sawit kita di mata dunia,” ujarnya.
Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia merangkap Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif IOI Corporations Berhad, Datuk Lee Yeow Chor serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia Datuk Dr. Kalyana Sundram.
Yew Chor berkata, penanaman sawit bertanggungjawab terhadap taraf kehidupan 650,000 peneroka sawit di negara ini dan komited untuk mengeluarkan makanan berkemampuan dan bernutrisi sementara menjana pendapatan berbilion ringgit.
“Pelakon Britain Dame Judi Dench pernah melawat Sabah untuk merakam siri dokumentarinya bertajuk Judy Dench’s Wild Borneo Adventure dengan mengembara Danum Valley, Lower Kinabatangan dan Pusat Rehabilitasi Orang Utan Sepilok, yang mana program itu berjaya disiarkan.
“Dia mendapati betapa kompleks industri minyak sawit dan komunitinya yang bergantung sepenuhnya pada industri itu, selain bersyukur pelbagai usaha diambil Malaysia untuk melindungi alam semulajadi dan melindungi hidupan liar dan habitatnya bersesuaian perubahan persekitaran.
“Malah, 7 video pendek yang diangkat terbaik daripada 70 penyertaan berkenaan akan diletakkan dalam empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil di laman web rasmi kerajaan serta media sosial sebagai usaha untuk menyedarkan masyarakat di luar sana,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette