SINGAPURA – Harga minyak dunia naik dalam dagangan hari ini selepas kemudahan minyak di Arab Saudi diserang oleh pemberontak Houthi.
Minyak Brent naik AS$0.45 atau 0.8 peratus kepada AS$59.09 setong pada 0035 GMT manakala minyak mentah Amerika Syarikat naik AS$0.39 kepada AS$55.26 setong.
Serangan dron oleh kumpulan Houthi di medan minyak timur Arab Saudi pada Sabtu lalu telah menambah ketegangan di Timur Tengah.
Serangan itu telah mengakibatkan kebakaran di loji tetapi Saudi Aramco berkata pengeluaran minyak tidak terjejas ekoran insiden tersebut.
Dunia kini masih berjaga-jaga dengan kemelesetan ekonomi dan pertumbuhan permintaan minyak.
Dalam laporan bulanan, Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) menurunkan ramalannya untuk pertumbuhan permintaan minyak dunia pada 2019 sebanyak 40,000 tong sehari kepada 1.10 juta tong dan menunjukkan pasaran akan menjadi lebih kecil sedikit pada tahun 2020.
Adalah sangat jarang sekali OPEC memberikan pandangan ke hadapan yang lemah untuk prospek pasaran. – MalaysiaGazette