HONG KONG – Alibaba Group Holding Ltd telah menunda penyenaraiannya di Bursa Hong Kong berikutan ketegangan di bandar raya itu.
Alibaba yang mengadakan mesyuarat lembaga memutuskan untuk menangguhkan penyenaraian di Hong Kong yang dijadualkan pada akhir bulan Ogos, menurut sumber.
Keputusan itu dibuat atas faktor ketidakstabilan kewangan dan politik di Hong Kong yang telah menyaksikan demonstrasi selama 11 minggu.
Tunjuk perasaan itu kini meningkat kepada keganasan.
Setakat ini belum ada tarikh baharu ditetapkan tetapi Alibaba boleh menyenaraikan seawal Oktober ini.
Alibaba dijangka meraih antara AS$10 hingga AS$15 bilion daripada penyenaraian itu.
“Adalah sangat tidak bijak untuk melaksanakan penyenaraian sekarang atau tidak lama lagi. Ini pasti akan menimbulkan rasa kurang senang Beijing dengan menawarkan hadiah besar kepada Hong Kong dalam keadaan yang berlaku sekarang di bandar itu,” tambah sumber.
Alibaba enggan mengulas mengenai penyenaraian tersebut. – MalaysiaGazette