KUALA LUMPUR – Walaupun sentiasa mengenakan vibuthi di dahi, RSN Rayer didakwa tidak mencerminkan identiti sebenar seorang yang warak dalam agama Hindu berbanding tindak tanduknya.
Malah kata Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan, walaupun tampil warak tetapi kenyataan Ahli Parlimen Jelutong itu sudah cukup menggambarkan siapakah dirinya yang sebenar.
Katanya, sebagai seorang wakil rakyat, beliau sepatutnya lebih prihatin dan tidak sesekali ‘berdendam’ dengan kisah lepas.
“Adakah kamu fikir tentang nasib pekerja-pekerja Utusan Malaysia itu sendiri yang merupakan lubuk rezeki untuk mereka dan keluarga mereka?
“Mendoakan ‘kematian’ Utusan dan bersorak kononnya satu kemenangan adalah tidak berperikemanusian.
“Ada fikir perasaan mereka sejenak? Mereka ini juga rakyat di negara ini, Utusan Malaysia itu tempat mereka cari sumber halal.
“Benar, anda telah tarik balik apa yang telah anda ‘tulis’ itu dengan mengatakan pembantu anda telah mengarangnya kemudian tidak sempat disemak sebaliknya telah diberikan kepada umum.
“Namun kandungan kenyataan itu sudah tersebar luas, apa yang ditulis itu sudah menggambarkan siapakah kamu-kamu ini. Saya mahu tanya kamu, tanda apa yang kamu pakai pada dahi itu? Itu berkaitan dengan agama serta kepercayaan kamu bukan?
“Adakah agama mengajar kamu bersikap sebegini? Saya sangat pasti agama kamu atau yang lain-lain ada mengajar kita untuk sumpah seranah atau tunjuk kebencian sehingga ke tahap ini sebenarnya.
“Berpada-padalah YB Rayer, jangan terlalu taksub sehingga lupa sekeliling, semua mata tengok kamu. Kenyataan kamu atau pembantu kamu ini tidak lebih daripada menunjukan betapa ceteknya pemikiran kamu,” tegasnya kepada Malaysia Gazette hari ini.
Rayer mendakwa Utusan Malaysia sebagai sebuah akhbar yang tidak menyumbang kepada sebarang bentuk pembangunan serta integrasi negara selepas kemerdekaan.
Malah beliau turut mendakwa, akhbar tersebut hanya dijadikan sebagai medium untuk pencetus perkauman, menimbulkan kebencian serta memecah belahkan politik dan ketaksuban setiap hari.
“Beberapa tahun yang lalu, akhbar ini membawa tajuk berjudul ‘Apa lagi Cina mahu?’
“Mungkin disokong oleh pemimpin-pemimpin penting yang pernah berkuasa dalam UMNO serta mempunyai kawalan ke atas semua institusi kerajaan termasuk polis yang menggalakkan editor dan penulis Utusan untuk sentiasa mengagungkan undang-undang.
“Utusan juga sering digunakan untuk menumpukan kepada pemimpin Pakatan Harapan seperti Dauk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) hingga terpaksa membawa kepada tindakan undang-undang dan saman kerana memfitnah,” katanya dalam satu kenyataan semalam sebelum di tarik selang beberapa jam selepas itu. –MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/20/utusan-tidak-jadi-tutup-apa-pula-kata-rayer/