Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas merasmikan Persidangan Pelancongan Sedunia 2019 di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK. foto SYAFIQ AMBAK, 26 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak akan mampu menarik pelaburan asing pada masa akan datang sekiranya melayan Lynas (Malaysia) Sdn. Bhd. seperti pariah, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sambil menafikan keputusan kerajaan melanjutkan lesen Lynas selama enam bulan lagi kerana tekanan oleh kerajaan Jepun, Pedana Menteri berkata, syarikat tersebut membawa pelaburan yang besar di samping memberikan peluang pekerjaan berkualiti dan bergaji tinggi kepada rakyat tempatan.

“Ia (Lynas) membawa satu pelaburan yang besar iaitu RM1.7 bilion dengan menawarkan kira-kira 700 pekerjaan berkualiti dan bergaji tinggi.

“Ini (pelanjutan lesen) adalah sesuatu yang perlu untuk Malaysia kerana jika kita melayan Lynas seperti pariah, kita tidak akan dapat menarik orang luar untuk melabur lagi di negara ini.

“Ia tiada kena mengena dengan Jepun,” tegasnya.

Perdana Menteri bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pelancongan Dunia 2019 di sini hari ini.

Kira-kira dua minggu lalu, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA) memaklumkan bahawa lesen operasi Lynas diperbaharui selama enam bulan lagi.

Lesen operasi itu sebelum ini telah dilanjutkan selama tiga tahun pada 2016 dan sepatutnya tamat pada 2 September ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mendakwa kerajaan tertekan dengan isu Lynas kerana ia merupakan tempat pemprosesan nadir bumi utama untuk Jepun dan Malaysia pula menerima pinjaman daripada kerajaan negara matahari terbit itu menerusi Bon Samurai. -MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.