KUALA LUMPUR – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Batu Caves melahirkan rasa tidak senang dengan cadangan Gabungan Seni Khat Action Team (SEKAT) menggunakan National Skip School Day (Protes Ponteng Sekolah SeMalaysia) sebagai usaha terakhir meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menangguhkan pelaksanaan tulisan Jawi.

Walaupun bantahan tersebut hanya akan diadakan selepas mendapat persetujuan ibu-bapa namun cadangan tersebut dilihat tidak masuk akal.

Sebaliknya menurut Yang Dipertua PIBG Batu Caves, Rajendran Sinnapan, rata-rata ibu bapa termasuk guru-guru juga tidak akan sesekali bersetuju membenarkan pelajar memonteng.

Menurutnya, SEKAT melalui setiausahanya, Arun Dorasamy tidak mempunyai sebarang hak untuk meminta kebenaran ibu-bapa bagi menyuruh anak-anak mereka ponteng sekolah.

“Kami semua sebulat suara menentang tindakan ponteng sekolah. Kami juga tidak akan sesekali menyokong Arun Dorasamy ini. Apa niat sebenarnya?

“Kami telah diberitahu kerajaan akan berbuat sesuatu, semua pihak rata-rata juga sudah mula bertenang jadi mengapa pula sekarang ada ini? Arun Dorasamy tidak ada sebarang hak untuk berbuat seperti itu.

“Mengapa perlu kami korbankan masa depan anak-anak kami kerana politik pengenalan jawi ini? Tidak munasabah langsung,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Arun melalui SEKAT baru-baru ini mendesak KPM mempertimbangkan beberapa aspek sebelum membuat keputusan melaksanakan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada tahun depan.

Bagaimanapun, sehingga kini belum ada pihak yang tampil memberikan sokongan kepada cadangan Sekat sebaliknya rata-ratanya mengkritik idea ini sebagai tidak masuk akal dan sangat tidak bertanggungjawab.

Malah Setiausaha Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Tamil, Tamilar Kaalam dan Puthiya Tamilar Talamurai, Mytheryar Mutturamalinggam bertindak membuat laporan polis atas dakwaan Arun dan SEKAT kerana cuba menghasut para pelajar melakukan sesuatu yang negatif seperti menentang kerajaan dan ponteng sekolah. –MalaysiaGazette

Tulisan Jawi: Arun Dorasamy dan Sekat ‘hasut’ pelajar menentang kerajaan

Tulisan Jawi: SEKAT ajak pelajar ponteng sekolah sebagai protes terakhir