Seramai 300 mahasiswa mengikuti Kursus Mutawwif dan Mutawwifah Professional 2.0 selama enam hari di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bermula semalam.

KUALA LUMPUR – Seramai 400 mahasiswa mengikuti kursus Sijil Profesional Mutawif dan Mutawifah 2.0 pada 27 Julai lalu di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) diikuti dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan sebelum diteruskan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bermula semalam.

Program yang dianjurkan buat kali ke dua ini disertai oleh mahasiswa semester akhir atau tahun akhir melibatkan 10 universiti awam di negara ini antara Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan, UMS, UNIMAS, Universiti Sultan Zainal Abidin, Politeknik Sarawak, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak, Universiti Kebangsaan Malaysia dan juga UPSI sendiri.

Kursus selama enam hari itu anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan UPSI serta Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sebagai pengendali program.

Ketua Biro Penggerak Belia PPIM, Abd Halim Ikhsan berkata, kursus itu bertujuan memberikan nilai tambah kepada para peserta selain memiliki ijazah bagi meningkatkan lagi kebolehpasaran pelajar di dalam dunia pekerjaan.

Abd Halim Ikhsan

Jelas beliau pada masa, ia dapat membuka minda para peserta berkenaan peluang lain yang terbentang luas selain dari bidang pendidikan.

“Kursus ini bakal melahirkan mutawif dan mutawifah dan kakitangan pengurusan umrah dalam kalangan para mahasiswa universiti awam secara profesional.

“Kursus ini juga mendedahkan kepada para mahasiswa berkenaan realiti kerjaya mutawwif dan pengurusan umrah serta berpeluang mendapatkan tempat kerjaya di dalam bidang pelancongan,” katanya.

Kesemua peserta program ini akan ditempatkan oleh PPIM di syarikat-syarikat pengendali umrah untuk menjalani sesi praktikal selama sebulan setengah bermula 3 September 2019.

Kursus Sijil Mutawif dan Mutawifah 2.0 anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris serta Persatuan Pengguna Islam Malaysia sebagai pengendali program.

Sebanyak 60 buah syarikat pengendali umrah yang memberikan kerjasama penuh dalam memberikan tempat praktikal kepada para peserta program ini. Antaranya Zayyan Travel & Tours Sdn. Bhd., Dhia Holidays & Tours Sdn. Bhd. Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd.

Majlis perasmian Kursus Sijil Profesional Mutawif dan Mutawifah 2.0 itu disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Bahagian, Cawangan Operasi Strategik, Bahagian Perancangan dan Penyelarasan Dasar Kementerian Pendidikan Malaysia, Fazli Said di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil, UPSI di sini semalam.

Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah Islamic Tourism Malaysia, Datuk Seri Abdul Khani Daud dan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Setiap peserta menerima Sijil Profesional Mutawif dan Mutawifah yang membolehkan mereka menjadi mutawif secara profesional di mana-mana syarikat pengendali umrah di Malaysia.

Sebelum ini, dua kursus yang sama telah diadakan UNIMAS dan UMS pada bulan lalu dan awal bulan ini yang melibatkan 100 mahasiswa.

Dari kiri, Abdul Khani Daud, Fazli Said dan Md. Amin Md. Taff.

Abd. Halim memberitahu, karier sebagai mutawwif dan mutawwifah adalah kerjaya yang dipandang tinggi walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran terutama kerenah jemaah tetapi perlu bertanggungjawab melayan tetamu jemputan Allah.

Jelas beliau, kerjasama dengan UPSI yang terkenal sebagai institusi melahirkan pendidik yang tanpa jemu menjadi pembimbing kepada masyarakat sepanjang zaman.

“Profesion mutawif dan mutawifah memberi peluang membantu orang lain dan bukan hanya satu pekerjaan yang memperoleh pendapatan malah berpaksikan ibadat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor UPSI, Prof Dr. Md. Amin  Md. Taff berharap kursus itu dapat melatih mahasiswa sehingga mereka mampu untuk terbang ke tanah suci dan menimba pengalaman sebagai pembantu mutawif seterusnya sebagai mutawif penuh.

Beliau menambah syarikat-syarikat pengendali umrah yang menjadi pelatih latihan industri dapat mengambil mahasiswa kursus yang berpotensi sebagai kakitangan tetap syarikat pada masa akan datang.

“Hari ini, mahasiswa tidak boleh mengharapkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu mempelbagaikan nilai tambah termasuk menjadi mutawif secara profesional,” katanya. – MalaysiaGazette

Kursus Mutawif dan Mutawifah Profesional 2.0 melibatkan 10 Universiti Awam di negara ini.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Alhmadulillah..
    Tahniah dan Syabas kepada yang terlibat samada NGO Kerajaan dan juga pihak Travel swasta kerana telah berjaya menjayakan program yang sangat bermanfaat kepada Mahasiswa juga Industri Umrah..
    Terima kasih kepada PPIM UPSI dan Kementerian Pelajaran Malaysia kerana telah memberi peluang kepada Zayyan Travel & Tour menjadi sebahagian di dalam Program Sijil Professional Mutawif dan Mutawifah 2.0 ini.

Comments are closed.