Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn. Bhd., Muhammad Yazurin Sallij (tiga kiri) diiringi Ketua Pegawai Operasi Rapid KL Bus Sdn. Bhd., Shamsul Rizal Mohd Yusof (dua kanan) serta yang lain bergambar kenangan pada Taklimat Media Perkhimatan Bas Mini Rapid KL di Depoh Bas Rapid KL, Maluri, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 29 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Rapid Bus Sdn. Bhd. hari ini membuat pencerahan tidak menggunakan bas mini lama seperti yang viral sejak semalam.

Sebaliknya kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Muhammad Yazurin Sallij, bas yang akan digunakan berkapasiti membawa  27 penumpang dan ia dilengkapi dengan penghawa dingin.

Jelasnya, tujuan utama membuat percubaan di laluan Bukit Indah ke Ampang Point selama tiga bulan adalah untuk melihat penjimatan masa yang bakal diperolehi di kawasan yang menghadapi masalah kenderaan parkir di bahu jalan.

Tambah beliau, dengan penggunaan bas mini yang panjangnya 7 hingga 8 meter itu dijangka dapat menjimatkan masa kepada 15 minit berbanding 20 minit selain dapat meningkatkan kekerapan perjalanan.

“Ini bukan bas-bas lama seperti yang viral, saya nak jelaskan. Kita nak tingkatkan jalan yang boleh disampai oleh bas kita.

“Kalau sekarang dengan bas yang besar ini, ada yang susah sampai sebagai contoh Projek Perumahan Rakyat (PPR), kawasan tu kita tidak boleh sampai akibat kenderaan parking (diletakkan) di kiri dan kanan sebab itu kita kena guna bas yang kecil.

“Itulah sebenarnya objektif percubaan kita,” katanya kepada pemberita pada Sesi Taklimat Media Mengenai Percubaan Perkhidmatan Bas Mini Rapid KL.

Selain penjimatan masa, Rapid KL juga akan menilai penjimatan terhadap kos penyelenggaraan dan penggunaan minyak dengan menggunakan bas mini itu berbanding bas yang berkapasiti lebih besar.

Muhammad Yazurin memberi pencerahan bas-bas mini tidak akan digunakan di kawasan ibu kota sebaliknya hanya sebagai laluan T300 sahaja, laluan Ampang Point melalui Ampang Jaya

Tambah beliau, kadar tambang dikekalkan sebanyak 80 sen secara pembayaran elektronik sepenuhnya dengan menggunakan kad My50 dan My100.

Berikutan percubaan penggunaan bas mini selama tiga bulan itu, Muhammad Yazurin mengalu-alukan maklum balas daripada pengguna.

Tempoh percubaan bas mini Rapid KL ini akan bermula 1 September hingga 29 November ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast