KUALA LUMPUR – Kecoh sejak semalam di laman laman sosial Facebook dan Whatsapp tentang sebuah keluarga India di Jalan Ipoh yang tidak mempunyai wang mencukupi untuk pengkebumian salah seorang ahli keluarganya.
Mayatnya terpaksa ditunggalkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sehingga keluarga tersebut mendapat dana mencukupi sebanyak RM2,500 untuk pengkebumian dan upacara sembahyang mengikut agama Hindu.
Perkara tersebut mendapat perhatian calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, Kuan Chee Heng yang menghubungi Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran.
Bagaimanapun, usaha Chee Heng yang lebih dikenali dengan panggilan Uncle Kentang itu tidak ‘dilayan’ Prabakaran menyaksikan Chee Heng mengeluarkan duit sendiri selain meraih sumbangang orang ramai untuk membantu keluarga malang tersebut.
Setiausaha Eksekutif MIC, AK Ramalinggam berkata, beliau terkejut apabila mendengar perkara itu dan berasa hairan apa yang telah terjadi dengan peruntukan yang diberikan keada wakil rakyat.
“Sebenarnya saya musykil, kecewa dan marah kerana sebagai wakil rakyat, anda dipertanggungjawabkan untuk sentiasa peka dengan nasib penduduk kawasan anda. Bukankah kamu ini diundi oleh orang-orang kamu sendiri?
“Tidak cukuplah sekadar bercakap berapi-api seperti masa berkempen kononnya hebat sekali tapi apabila sudah menang, kamu cuci tangan begitu sahaja.
“Saya hendak tanya kepada YB Termuda ini, apakah anda begitu sibuk sekali mengalahkan Perdana Menteri? Selain daripada menjadi wakil rakyat dan menyelesaikan isu-isu kawasan, apakah tanggungjawab kamu yang lain? Kamu bukan Menteri pun, jauh lagi jawatan Kabinet lain. Jadi apa masalah?
“Kedua, bagaimanakah wang peruntukan oleh kerajaan di belanjakan? Saya hendak tahu kerana ini kawasan saya juga, saya juga tinggal di Batu.
“Saya sudah lama perhati, juga telah banyak mendengar daripada masyakat setempat. Adakah pusat perkhidmatan ini senang di ‘capai’ selain daripada telefon anda sendiri?
“Ini adalah isu melibatkan orang yang telah mengundi kamu sehingga kamu menang, pastinya ada banyak lagi cara dan inisiatif pejabat Ahli Parlimen boleh hulurkan selain wang ringgit, jadi mengapa keluarga ini terpaksa menghadapi isu ini?
“Saya mohon kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga untuk campur tangan dan siasat tentang peruntukan yang diberikan kepada wakil rakyat, bukan semua tetapi segelintir apatah lagi aduan seperti ini bukan sesuatu yang baharu.
“Janganlah asyik dengan kes berprofil tinggi-tinggi sahaja atau mahu cari kesalahan lepas-lepas sahaja, yang sedia ada juga memerlukan perhatian,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sementara itu, Uncle Kentang memuat naik status dalam laman sosial yang menyatakan bahawa keluarga itu telah mendapat bantuan untuk mengadakan majlis pengebumian pada hari ini.
“Terima kasih ‘anak Malaysia’, mayat lelaki India yang tersadai di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) telah diambil dan akan di uruskan hari ini. Tidak perlu tunggu YB. Telefon YB pun tidak terjawab langsung.
“Maafkan YB, beliau (Prabakaran) terlampau sibuk lah. Terima kasih kepada semua penderma, semangat merdeka itu ada dalam diri masing-masing, terima kasih,” katanya dalam laman Facebook milik beliau.
Dalam pada itu, Ramalinggam juga memberi amaran kepada pimpinan Pakatan Harapan (PH) supaya tidak menyalahkan MIC atau Barisan Nasional dalam isu ini.
“Jangan memandai tuding jari, jangan cari salah sebaliknya betulkan keadaan. Kerajaan kini milik kamu bukan MIC jadi adalah menjadi tanggungjawab kamu untuk memikul amanat ini dengan baik.
“Kepada Prabakaran, tolonglah beri keutamaan kepada pengundi kawasan kamu yang ada banyak isu berbangkit, selesaikan itu. Janganlah kata kamu tidak tahu politik dan masih lagi mentah, sudah lebih setahun patutnya sudah lebih arif dengan keadaan sekeliling.
“Wakil rakyat tidak bermakna hanya sekadar menyertai majlis-majlis atau memberi temuramah radio dan televissyen sahaja, ianya lebih dari itu, usia bukan penghalang kamu malah kamu juga ada peruntukan serta kuasa sebagai Ahli Parlimen, gunakan dengan sebaiknya.
“Saya tidak akan berhenti di sini sahaja, selepas ini akan lebih vokal jika kamu tidak lakukan dengan betul, jangan beri alasan macam-macam, masa untuk buat kerja dan utamakan rakyat,” tegasnya. – MalaysiaGazette