logo 1MDB
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Pekan hari ini gagal membatalkan notis lucut hak terhadap wang berjumlah RM700,000 yang dibekukan berhubung penyiasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan UMNO Bahagian Pekan itu yang diwakili peguam Datuk M. Reza Hassan untuk membatalkan notis lucut hak yang difailkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Mahkamah menolak permohonan pemohon (UMNO Bahagian Pekan). Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan pendakwaan meminda penama dalam notis lucut hak mengikut Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966,” katanya semasa sebutan kes itu.

Mahkamah memberi tempoh tujuh hari bermula hari ini untuk pihak pendakwaan meminda penama dalam permohonan notis lucut hak terhadap wang RM700,000.

Hakim Mohd Nazlan mengarahkan Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai dari SPRM untuk meminda nama UMNO Bahagian Pekan kepada nama pemegang jawatan dalam notis berkenaan dan menetapkan 6 Sept untuk pengurusan kes.

Pada 23 Ogos lepas, UMNO Bahagian Pekan membantah notis warta yang difailkan pendakwaan atas alasan pendakwaan telah menamakan pihak yang salah.

Oleh itu parti tersebut memohon membatalkan permohonan lucut hak terhadap wang berkenaan yang dibekukan.

Permohonan melucut hak itu dibuat pendakwaan mengikut Seksyen 56 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya baru-baru ini berkata permohonan pelucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) yang suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. – MalaysiaGazette