KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir meminta Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli meluluskan projek darurat secepat mungkin bagi mengatasi masalah hakisan pantai di Pengkalan Maras.
Katanya, beliau telah menyuarakan perkara itu pada sesi persidangan Parlimen November tahun lalu, dan pihak kementerian memberi jaminan akan meneruskan projek pembinaan ‘nearshore breakwater’ sebagai langkah menangani masalah hakisan di kawasan itu.
Namun, kata beliau, projek pembinaan yang melibatkan kos kira-kira RM90 juta itu masih dalam proses reka bentuk dan dijangkakan bermula awal tahun 2021 dengan mengambil masa panjang untuk disiapkan.
“Oleh itu, kementerian digesa segera meluluskan projek darurat secepat mungkin sebagai persediaan awal untuk berhadapan dengan peralihan monsun yang dijangka akhir September ini.
“Walaupun kementerian telah meluluskan projek tambakan pasir bernilai hampir RM10 juta, itu tidak melibatkan kawasan yang terhakis teruk sebagaimana disiarkan dalam buletin sebuah stesen televisyen baru-baru ini.
“Mengikut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula, kerugian dialami sehingga Januari lalu dianggarkan RM3.75 juta dan meningkat kepada RM7.51 juta pada Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Jelas Shaharizukirnain, apa yang membimbangkan kerugian itu dijangka terus meningkat kepada RM23.75 juta sekiranya masalah berkenaan tidak diatasi segera.
Ini kerana, ujarnya, sepanjang Ogos hingga Disember ini hakisan yang berlaku akan merosakkan tanah perkuburan Islam, chalet, premis perniagaan, jalan berturap dan kawasan pendaratan ikan.
Oleh itu, rakyat setempat amat memerlukan projek darurat dengan tambakan pasir sekurang-kurangnya sepanjang 500 meter dan 40 meter lebar.
“Ia bermula dari hujung lapis lindung batu sedia ada sehingga sekurang-kurangnya 500 meter ke utara iaitu meliputi kawasan hakisan kritikal bagi mengelak hakisan semakin teruk.
“Selain itu, langkah ini juga bagi menyelesaikan masalah perebakan hakisan terus berlaku ke bahagian lain,” katanya.
Justeru, kata beliau, selepas beberapa kali lawatannya ke kawasan kejadian, dikenal pasti lokasi itu amat memerlukan peruntukan dan pembinaan tambakan jangka pendek sementara menunggu projek untuk penyelesaian menyeluruh jangka panjang yang dianggarkan bernilai RM90 juta dilaksanakan.
“Oleh itu, cadangan saya bagi meluluskan projek darurat adalah salah satu langkah jangka pendek bagi mendepani masalah ini.
“Saya berharap kementerian meluluskan projek darurat secepat mungkin agar nyawa rakyat tidak dipertaruhkan serta kemusnahan akibat bencana mampu dielakkan.
“Saya juga menyokong permohonan kerajaan Terengganu supaya Kerajaan Persekutuan segera meluluskan peruntukan darurat sebanyak RM5 juta serta menyeru agar semua pihak bekerjasama menjaga ekosistem alam dalam apa jua projek pembangunan yang ingin dibina,” kata beliau. – MalaysiaGazette